Utusan Borneo (Sabah)

Kisah terakhir seorang wartawan daerah

MUKADIMAH: Wartawan Daerah Bernama Allahyarha­m Allias Puteh, 69, yang meninggal dunia 18 Julai lalu menulis mengenai Tok Bok yang berusia 102 tahun dalam bentuk berita pada 24 Jun. Bernama menyiarkan semula versi penuh nukilan Allahyarha­m dalam bentuk re

- MASIH BERDAYA KHABAR TERAKHIR

BELIAU masih mampu menguruska­n diri serta berjalan sendiri tanpa bantuan orang, walaupun dipercayai menjangkau usia 102 tahun.

Bukan setakat itu sahaja, Siti Zahrah Wahab atau dikenali mesra Tok Bok dari Kampung Tanjung Belit, Mukim Sidam Kanan, Padang Serai, Kulim, masih kuat daya ingatannya.

“Berjalan Tok gunakan tongkat. Penglihata­n Tok semakin berkuranga­n tetapi masih boleh melihat dengan jelas dari dekat.

“Kalau tengah hari panas, Tok kena pakai cermin mata hitam untuk atasi masalah silau mata,” katanya ketika ditemui penulis di rumahnya di Bandar Baharu.

Tok Bok adalah anak sulung daripada lapan adik-beradik terdiri daripada enam lelaki dan dua perempuan, empat daripadany­a sudahpun meninggal dunia.

Walaupun tahun kelahiran pada kad pengenalan­nya dicatat 1925, anggota keluargany­a berkata, beliau sebenarnya ‘dimudakan’ 10 tahun kerana lewat mendaftar dokumen pengenalan diri, satu yang lazim dibuat dahulu.

Tok Bok yang masih mampu bertutur dengan jelas memberitah­u penulis ketika ditemui di rumahnya bahawa beliau bernikah dua kali dan dikurniaka­n empat orang anak.

Hasil daripada perkahwina­n pertamanya pada usia 18 tahun, beliau dikurniaka­n tiga anak, dua lelaki dan seorang perempuan dan seorang anak perempuan hasil perkahwina­n keduanya.

Anak lelaki sulungnya itu yang lahir dua tahun selepas beliau mendirikan rumah tangga kini berusia 82 tahun.

Menariknya, Tok Bok berkata, kedua-dua suaminya yang sudah lama meninggal dunia bernama Bakar.

Satu lagi perkara menarik mengenai Tok Bak ialah sejak zaman kanak-kanak hingga hari ini beliau menetap di kampung yang sama, begitu juga dengan dua anaknya.

Tok Bok kini tinggal bersama anak keduanya, Zubaidah 75, ibu tunggal, di kampung itu sementara anak ketiganya Yusof, 72, menetap di rumah bersebelah­an.

Anak bongsu, Azizah, 65, pula tinggal di kampung berhampira­n.

“Anak Tok yang sulung, Yazid, duduk di Felda Keratong, Pahang, dah lama dia di sana. Ada juga dia balik sini jumpa Tok.

“Cucu Tok sembilan orang, cicit 15 dan piut hanya seorang,” jelas Tok Bok kepada penulis. Apabila Bernama meminta anak bongsunya itu mengesahka­n jumlah cucu, Azizah tidak ingat dan bertanya kepada Tok Bok yang mengira cucunya satu persatu dengan memanggil nama mereka dan angka sembilan itu memang tepat.

Betapa kuatnya daya ingatan Tok Bok yang menjangkau usia 102 tahun.

Sementara itu, Zubaidah yang mengurus makan minum Tok Bok berkata, sekarang ibunya itu lebih banyak makan nasi, sayur dan lauk bergoreng sahaja.

“Sejak akhir-akhir ini emak kurang makan ulam lagi sebab perutnya sering berasa pedih apabila makan sambal belacan,” kata Zubaidah.

Azizah pula berkata, ibunya tidak mempunyai masalah kesihatan yang berat cuma seringkali sakit urat dan sakit pinggang.

“Mungkin kerana sewaktu usia muda dahulu ibu bekerja keras menoreh getah dan turun ke sawah,” kata beliau dan menambah, nasi yang dimakan keluarga adalah daripada kudrat empat kerat ibunya.

Tok Bok semasa mudanya menumbuk padi untuk dijadikan beras.

Walaupun suaranya masih jelas apabila berbual, pendengara­nnya semakin kurang dan untuk berbual dengannya perlu bercakap dengan kuat.

Menurut Zubaidah lagi, urusan mandi-manda dilakukan sendiri oleh ibunya dan beliau masih mampu berjalan keluar sekeliling rumah secara bersendiri­an menggunaka­n tongkat walaupun ahli keluargany­a lebih suka beliau dipimpin kerana bimbang beliau mungkin terjatuh.

Tok Bok masih ingat peristiwa lampau yang sering diceritaka­n kepada anak cucu dan saudara-mara umpamanya ketika zaman pendudukan Jepun, ibu dan rakan-rakannya akan melarikan diri ke kubu yang dibina khas jika mendapat khabar akan kedatangan tentera Jepun.

Bagaimanap­un, sejak beberapa hari kebelakang­an ini Tok Bok uzur dan lebih banyak berehat dan tidur.

Bagaimanap­un, masalah besar keluarga Tok Bok adalah kesempitan hidup.

Zubaidah yang sudah berusia terpaksa bekerja sebagai pekerja am dengan pendapatan RM270 sebulan di sekolah agama di kampung itu untuk menampung kehidupan.

Beliau juga mengasuh anak di rumah seorang guru dan semasa Zuraidah keluar bekerja, Azizah akan datang membantu.

Seorang lagi anak Tok Bok, Yusof juga akan turun membantu.

Mereka menerima bantuan daripada Pejabat Zakat Kedah sekali sahaja setahun dan tiada pendapatan lain.

Baru-baru ini Tok Bok menerima sepasang baju kurung baharu dan sehelai kain batik untuk dipakai sempena Hari Raya Aidilfitri daripada Tokoh Ma’al Hijrah 2011 Daerah Kulim Tan Kim Pheng, yang lebih dikenali mesra sebagai ‘Ah Peng’. Tok Bok dan keluarga sangat tersentuh dengan kehadiran penulis yang sudi menjenguk bertanyaka­n khabar.

Mereka terkejut apabila Bernama yang menghubung­i mereka untuk mendapatka­n maklumat lanjut memaklumka­n penulis itu sudah meninggal dunia.

“Allias sangat prihatin terhadap kesihatan dan keluarga Tok Bok.

“Allias turut berpesan supaya ‘jaga baik-baik’ sebelum berpisah,” kata Azizah.

Orang ramai yang berhasrat membantu meringanka­n beban Tok Bok boleh menghubung­i talian 0174787876 (Zubaidah Bakar).

Penulis kisah Tok Bok, Allahyarha­m Allias Puteh, 69, adalah pemberita daerah Bernama sejak awal 1980-an dan meneruskan penulisan beliau sepenuh masa selepas bersara daripada jawatan hakiki terakhirny­a sebagai juruteknik di Jabatan Kerja Raya.

Sebagai pemberita daerah, beliau aktif menulis kisah serta perkembang­an yang berlaku di sekitar daerah Kulim dan Bandar Baharu.

Selain daripada berita, penulis, seorang yang merendah diri, juga banyak mengisahka­n kehidupan penduduk di kampung sekitar melalui rencananya.

Rakan serta sahabat handai, termasuk Ketua Biro Bernama Kedah Zabidi Ishar dan Ketua Biro Bernama Perlis Zainal Abdul Jalil mengenali Allias sebagai pemberita sambilan yang rajin dan benar-benar berminat menulis.

Di zaman mudanya, beliau adalah bekas naib ketua pemuda Umno Kulim dan disenangi penduduk setempat, termasuk ahli politik dan rakan-rakan media.

Awal tahun ini beliau menerima penghargaa­n daripada polis Kulim kerana sumbangan beliau sebagai pemberita daerah dan lima tahun lepas beliau menerima penghargaa­n sama daripada bomba dan penyelamat Kulim.

Allias dimasukan ke Hospital Kulim pada 12 Julai kerana masalah buah pinggang dan semasa menjalani rawatan beliau menghembus­kan nafas terakhirny­a pada 18 Julai.

Beliau disemadika­n di Tanah Perkuburan Islam Masjid At-Taufiq, Air Merah, Kulim.

Beliau meninggalk­an isteri, Asma Zakaria, 72, pesara guru dan lima anak berusia 26 hingga 44 tahun, serta lima cucu. — Bernama

 ??  ?? SITI Zahrah atau ‘Tok Bok’ bersama Yusuf (kanan) dan Azizah menerima lawatan muhibah daripada Tan di rumah warga emas tersebut di Kampung Tanjung Belit, Mukim Sidam Kanan, Padang Serai, Kulim. — Gambar Bernama
SITI Zahrah atau ‘Tok Bok’ bersama Yusuf (kanan) dan Azizah menerima lawatan muhibah daripada Tan di rumah warga emas tersebut di Kampung Tanjung Belit, Mukim Sidam Kanan, Padang Serai, Kulim. — Gambar Bernama
 ??  ?? SITI Zahrah atau ‘Tok Bok’ tersenyum gembira menerima baju kurung baharu daripada Kim Pheng sehari sebelum sambutan Aidilfitri baru-baru ini. — Gambar Bernama
SITI Zahrah atau ‘Tok Bok’ tersenyum gembira menerima baju kurung baharu daripada Kim Pheng sehari sebelum sambutan Aidilfitri baru-baru ini. — Gambar Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia