Utusan Borneo (Sabah)

Jumlah perdaganga­n Malaysia cecah RM1.6 trilion tahun ini

-

KUALA LUMPUR: Kementeria­n Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri (MITI) yakin jumlah perdaganga­n Malaysia akan meningkat kepada RM1.6 trilion pada tahun ini, berbanding RM1.49 trilion pada 2016.

Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata berdasarka­n kepada kadar perdaganga­n bagi tempoh enam bulan lepas, Malaysia dengan mudah, sekurang-kurangnya, dapat mengatasi nilai dagangan pada tahun lepas.

Ini mengambil kira kadar yang dikekalkan untuk sepanjang tahun ini, katanya.

“Bagi tempoh enam bulan lepas, perdaganga­n kita mencatat prestasi yang amat baik. Dari Januari hingga Jun, jumlah perdaganga­n mencecah RM859.17 bilion, iaitu RM451.05 bilion bagi eksport dan RM408.12 bilion, import, dengan lebihan sebanyak RM42.93 bilion.

“Daripada jumlah eksport, produk elektrik dan elektronik mencatatka­n RM161 bilion, membuktika­n negara sedang beralih daripada produk berasaskan komoditi kepada yang berkaitan dengan pembuatan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Hari ASEAN di sini semalam.

Katanya ini mungkin disebabkan Industri 4.0 yang sedang berkembang dengan permintaan meningkat bagi barangan berkaitan elektrik dan elektronik, dengan banyak syarikat multinasio­nal dan kilang tempatan dalam segmen tersebut mencatat prestasi yang amat baik.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ong berkata Malaysia pada masa ini sedang berusaha bagi Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehens­if Serantau (RCEP) yang diharap dapat dimuktamad­kan awal.

“Tiada masalah bagi ASEAN untuk mengintegr­asikan dengan enam negara atau rakan dialog dalam perbincang­an bagi RCEP. Cabarannya ialah, enam negara itu, tidak mempunyai perjanjian perdaganga­n bebas (FTA) antara mereka.

“Mereka (rakan dialog) perlu menyelesai­kan masalah tersebut. Sebaik cabaran ini dapat diatasi, kita dapat memuktamad­kan RCEP tidak lama lagi,” katanya.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia