Utusan Borneo (Sabah)

M’sia sasar 111 emas Sukan SEA, 103 bagi Para ASEAN

-

PUTRAJAYA: Malaysia sasar menjadi juara keseluruha­n temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN kesembilan, masing-masing dengan sasaran 111 dan 103 pingat emas.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira semua faktor dan analisis yang membolehka­n Malaysia menjadi juara keseluruha­n.

“Kita pilih 111 dan 103 pingat emas setelah kita lihat kepada senario masa kini, ada sukan yang kita optimis, ada sukan yang kita lebih konservati­f.

Ini adalah angka yang seimbang walaupun saya ada menerima analisis mengatakan kita akan dapat lebih banyak pingat dan ada juga lebih sedikit jumlah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke KL2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Antarabang­sa Putrajaya, di sini.

Bendera bagi kontinjen Sukan SEA ke-29 diterima Ketua Kontinjen Datuk Marina Chin, manakala Datuk R.Subramania­m menerima Jalur Gemilang bagi kontinjen Sukan Para ASEAN kesembilan.

Dalam pada itu, Khairy berkata tiada sebarang sukan spesifik disasarkan sebagai ‘lubuk emas’ pasukan negara kerana tidak mahu ia memberi tekanan kepada atlet yang bertanding.

Sementara itu, mengulas sasaran negara itu, Marina yakin sasaran yang diumumkan adalah wajar dan mampu dicapai oleh kontinjen negara.

“Saya tidak nampak sasaran tersebut menjadi tekanan kepada saya tetapi saya tidak mahu sasaran tersebut menjadi tekanan kepada atlet. Kita tidak mahu tetapkan siapa yang akan beri pingat kerana saya percaya sesiapa pun boleh bagi pingat,” katanya. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia