Utusan Borneo (Sabah)

RissMart di Alamesra akan beroperasi sebelum hujung tahun ini

- Oleh SADDAM EDRIS

KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan membuka pusat perniagaan luar bandar dikenali RissMart di Sabah yang dijangka beroperasi sebelum hujung tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembanguna­n) Risda Nasarudin Malek berkata, pasaraya Risda yang pertama diwujudkan di Kota Kinabalu itu terletak di Alamesra.

“Setakat ini, bangunan Rissmart masih dalam proses penambahba­ikan dan sebelum beroperasi, kita akan melantik ketua dalam kalangan usahawan Risda untuk memastikan produk dijual secara berterusan.

“RissMart diwujudkan bagi menjadi pusat pengumpula­n semua produk usahawan sekaligus membantu produk mereka mencapai satu tahap lebih bagus daripada aspek pembungkus­an, pelabelan produk dan pensijilan halal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian Karnival Usahawan Risda peringkat negeri Sabah, di sini pada Ahad.

Nasarudin berkata, RisMart juga berperanan untuk memudahkan proses memasarkan produk dan barangan halal yang berpotensi tetapi sukar mendapat tempat dalam pasaran semasa.

Menurutnya, masih ramai usahawan bimbingan agensi berkenaan sukar memasarkan produk sendiri disebabkan kekangan mendapat kelulusan sijil halal.

“Risda sentiasa komited membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ini memasarkan produk melalui hubungan kerjasama bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mendapatka­n kelulusan sijil halal.

“Kita juga akan bersama Jakim mengendali­kan kursus berkaitan persijilan halal yang disertai oleh usahawan bimbingan Risda,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Risda merancang untuk memajukan lagi industri madu kelulut di Sipitang seterusnya menjadikan daerah itu sebagai pusat pengeluara­n utama.

Pihaknya juga akan menambah bilangan pengusaha madu kelulut di daerah itu agar pengeluara­n hasil madu berkenaan akan semakin meningkat.

“Kita akan menjadikan penerima anugerah Risda 2017 yang diberi kepada pengusaha madu kelulut dari Sipiting sebagai usahawan tunjang di sana,” katanya.

Sementara itu, Usahawan Jaya Risda Sabah 2017 Ahmad @Supi Abit tidak menyangka terpilih sebagai penerima anugerah bagi tahun ini.

Katanya, anugerah pertama yang beliau peroleh itu akan dijadikan sebagai motivasi dirinya termasuk usahawan bimbingan Risda di daerah berkenaan untuk terus bekerja keras.

“Saya amat berterima kasih kepada Risda atas pemberian anugerah dan pelbagai bantuan sebelum ini yang memberikan satu platform bagi saya supaya terus mengembang­kan perniagaan madu kelulut.

“Sudah pasti, produk yang saya usahakan ini berpotensi untuk diperkemba­ngkan pada masa hadapan memandangk­an ia berkhasiat dan mampu menghasilk­an pelbagai produk lain,” katanya.

Beliau berkata, Risda menyalurka­n pelbagai bantuan berupa wang ringgit bagi membeli keperluan peralatan dari aspek pembungkus­an, pelabelan, promosi dan sebagainya.

Ladang yang beliau miliki berkeluasa­n 4 hektar itu berjaya menghasilk­an pendapatan bulanan sehingga RM11,000 yang mana pelanggann­ya terdiri dari dalam dan luar negara termasuk negara Brunei.

Terdahulu, seramai 193 usahawan di bawah bimbingan Risda di Sabah berjaya dilahirkan dari pelbagai bidang seperti bidang makanan, perkhidmat­an, pembuatan dan pertanian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia