Utusan Borneo (Sabah)

Bekas pengarah Kawalselia Padi dan Beras cawangan Kelantan didakwa terima rasuah

-

KOTA BHARU: Bekas pengarah Kawalselia Padi dan Beras cawangan Kelantan, Nik Yaacob Idris mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima rasuah RM3,500 bagi memudahkan urusan mendapatka­n permit kebenaran memindahka­n beras.

Nik Yaacob, 60, dituduh secara rasuah memperoleh suapan itu daripada Sufian Mohd Nor di Restoran Al Khatiri, Kubang Kerian di sini pada kira-kira 3.25 petang 12 April lalu iaitu ketika tertuduh berjawatan Pengarah Kawalselia Padi dan Beras cawangan berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang jika sabit kesalahan dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana yang lebih tinggi. Nik Yaacob diwakili peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal. Hakim Adli Abd Ghalib membenarka­n tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan kes itu pada 24 Sept.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Nurdalilah Md Daud.

Sementara itu, dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulai pada Selasa ini atas pertuduhan membunuh seorang rakan mereka 16 Julai lalu.

Tertuduh, Hon Lih Ting, 32, dan Cheng Pei Hua,33, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Farid Ahmad Kamal. Tiada pengakuan direkodkan dari kedua-dua tertuduh. Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa melakukan pembunuhan ke atas seorang lelaki Lam Kok Poh, 28, antara 12 tengah malam hingga 2 pagi di laluan Jalan Berturap Kampung Melayu, Jalan Besar Kulai-Simpang Renggam, Bukit Batu dekat Kulai.

Hon dan Cheng dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman mati.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia