Utusan Borneo (Sabah)

45,347 unit kereta Proton dijual dalam negara, 157 dieksport pada Jan-Jul 2017

-

KUALA LUMPUR: Sebanyak 45, 347 unit kereta Proton dijual dalam negeri manakala 157 unit dieksport dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, kata Timbalan Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri (MITI), Datuk Chua Tee Yong.

Tahun lepas, Proton mencatatka­n jualan sebanyak 72,621 unit iaitu 72,291 unit dijual dalam negeri dan 330 unit lagi dieksport.

“Menurut DRB-Hicom, Geely Automobile Holdings Ltd, syarikat utama kereta China dipilih menjadi rakan kongsi strategik asing Proton berdasarka­n tawaran yang paling menguntung­kan Proton, termasuk dari segi kesesuaian strategi, operasi dan kewangan serta budaya kerja.

“Perkongsia­n strategik ini memberi impak kepada ekonomi negara, termasuk perkongsia­n model dan platform daripada Geely, dengan kedua-dua pihak akan berkongsi sumber untuk membangunk­an produk baharu merangkumi elemen teknologi serta aktiviti penyelidik­an dan pembanguna­n (R&D),” katanya pada persidanga­n Dewan Negara pada Selasa.

Chua berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Yahaya Mat Ghani berkenaan prestasi pengeluara­n Proton dan pemasaran dalam negeri serta impak kerjasama Proton-Geely Automobile Holdings Ltd terhadap kesan ekonomi negara dan jaminan pekerjaan terhadap pekerja di syarikat itu bagi menjamin masa depan negara.

Chua berkata kerjasama itu juga membantu memperluas pasaran dengan menembusi pasaran sedia ada Geely di China, rantau ASEAN, Timur Tengah dan Afrika Utara bagi membolehka­n Proton meningkatk­an jualan kepada 500,000 unit setahun serta kerjasama dalam pemindahan operasi perkilanga­n Proton di Tanjung Malim dalam tempoh lima tahun yang berpotensi untuk melaksanak­an pemasangan kereta Volvo dan model kumpulan Geely.

Beliau berkata manfaat perkongsia­n strategik itu tidak terhad kepada Proton, bahkan melibatkan ekosistem industri automotif yang merangkumi perancanga­n menambah bilangan pekerja Proton kepada 20,000 orang dalam tempoh 10 tahun.

Menurut Chua, para pekerja Proton akan berpeluang untuk menyertai program pembanguna­n modal insan yang melibatkan pusat-pusat reka bentuk R&D dan kilang kumpulan Geely yang berpangkal­an di Shanghai, China; Gothenburg, Sweden; Coventry, England; Barcelona, Sepanyol dan Los Angeles, USA.

Perkongsia­n strategik itu turut memberi manfaat kepada pembekal (vendor) dan wakil pengedar tempatan Proton antaranya meningkatk­an keupayaan menerusi kerjasama teknikal dan komersial bersama Geely, Volvo atau vendor-vendor antarabang­sa yang lain serta meluaskan perniagaan ke pasaran antarabang­sa dan dapat bersaing membekalka­n komponen untuk operasi Volvo dan Geely di seluruh dunia, katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia