RM250j biayai subsidi pertanian, kemudahan lain
BAKONG: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM250 juta bagi membiayai pelbagai subsidi pertanian serta kemudahan asas lain di luar bandar negeri ini termasuk membina jalan kebun.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata peruntukan tersebut dibiayai bersama oleh kerajaan negeri dan pusat sebagai usaha memajukan industri pertanian di negeri ini bagi meningkatkan taraf hidup penduduk di luar bandar.
“Kerajaan sentiasa mencari cara dan polisi meningkatkan pendapatan penduduk khususnya golongan petani dan pekebun di luar bandar,” katanya pada Program Jalinan Tani di Dewan Masyarakat Beluru, di sini pada Salasa.
Beliau mahu petani memanfaatkan segala kemudahan subsidi termasuk baja, anak pokok dengan sebaiknya tanpa membazirkan atau mensia-siakan peruntukan diagihkan.
Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah itu berkata sudah tiba masanya bagi Sarawak mengubah cara pertanian daripada konvensional dan tradisional kepada cara moden dengan memanfaatkan teknologi digital.
Katanya, kerajaan negeri mahu menukar konsep pertanian di negeri ini dengan mengguna pakai aplikasi digital khususnya mengendalikan ladang-ladang bagi membangunkan sektor pertanian dan penghasilan lebih produktif.
Uggah berkata, beliau akan memanfaatkan hasil lawatannya ke China untuk mempelajari kaedah dan aplikasi diguna pakai dalam sektor perladangan.
“Di China sudah terdapat teknologi tanaman yang ditanam dengan sistem air, baja dan lain-lain dikawal menggunakan komputer atau terus daripada telefon pintar.
“Saya juga mahu petani di Sarawak menggunakan kemudahan teknologi moden lebih canggih dalam sektor pertanian seperti dilakukan di negara China,” jelasnya.
Mengenai cara memasarkan hasil pertanian dan ternakan penduduk kampung dan di rumah panjang, Uggah berkata kementeriannya kini mempunyai pendekatan baharu dikenali sebagai Pusat Pengumpulan.
Katanya, menerusi pendekatan itu pegawai Jabatan Pertanian menerusi agensinyaLembagaPemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) melakukan tinjauan ke rumah panjang dan kampung untuk mengenal pasti tanaman, buah-buahan atau ternakan yang banyak terdapat di sesuatu kawasan.
“Fama akan membeli semua hasil pertanian dan ternakan ini serta membawanya ke Pusat Pengumpulan yang menyerupai ‘wholesales’ dan di pusat itu nanti semua pemborong serta tauke-tauke mendapatkan atau membeli hasil tersebut.
“Dengan demikian petani di luarbandartidakperlurisaujika ada lambakan buah-buahan yang banyak kerana kita akan membantu dengan membeli hasil tersebut dan menjualnya di Pusat Pengumpulan yang diwujudkan itu,” katanya.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Marudi Datu Dr Penguang Manggil turut memohon agar Pusat Pengumpulan tersebut diwujudkan di dua lokasi di konstituensi Marudi iaitu di pekan Marudi dan Beluru.
Uggah turut menyampaikan peruntukan khas Perdana Menteri dan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP)berjumlahRM473,000 kepada 30 penerima terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta sebilangan kecil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Turut hadir Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail yang juga Adun Bukit Kota serta Pengarah Pertanian Sarawak Datu Lai Kui Fong.