Utusan Borneo (Sabah)

Malaysia perlu bermain lebih baik hadapi Myanmar

- Oleh VITALIS G BINGKASAN

KOTA KINABALU: Malaysia perlu bermain lebih baik untuk dapatkan kemenangan apabila meneruskan cabaran menentang Myanmar pada saingan bola sepak wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium UiTM, Shah Alam malam ini.

Sehubungan dengan itu, ketua jurulatih Mohd Asyraaf Fong Abdullah (gambar) akan membuat sedikit perubahan senarai kesebelasa­n dan taktikal berbanding ketika tewas 1-2 perlawanan pertama ditangan Filipina pada Selasa.

Pada perlawanan pertama itu, Malaysia yang dibarisi ramai pemain Sabah ketinggala­n 1-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Impelido Patrice Mae San.

Dadree Rofinus menceriaka­n kem Malaysia apabila menjaringk­an gol penyamaan pada minit ke-51 tetapi Filipina akhirnya memiliki perlawanan itu hasil jaringan kemenangan Cathleen Camille pada minit ke-73.

Ketua jurulatih dari Sabah itu berkata, kesebelasa­n utama kali ini lebih kepada pemain yang memiliki daya tahan fizikal bagi menyaingi pemain Myanmar.

“Myanmar juga tewas perlawanan pertama (kalah 2-3 ditangan juara bertahan Thailand). Oleh itu, seperti kita (Malaysia), mereka juga terdesak untuk dapatkan kemenangan.

“Kami akan cuba gagalkan usaha mereka dapat gol awal dan pada masa yang sama pemain kita perlu bijak menghidu setiap peluang yang ada untuk diterjemah­kan kepada jaringan. Ketika menentang Filipina, pemain kita mensia-siakan beberapa peluang yang ada,” kata Asyraaf ketika dihubungi pada Rabu.

Beliau berkata, pemain perlu menjadikan kekecewaan terhadap kekalahan pada perlawanan pertama sebagai pembakar semangat bermain dengan lebih baik malam ini.

“Malaysia adalah pasukan `underdog’ pada kejohanan ini tetapi dalam bola sepak, kejutan dari pasukan bukan pilihan adalah perkara yang bukan mustahil.

“Saya cuba pulihkan semangat pemain agar melupakan kekalahan ditangan Filipina. Tidak perlu memikirkan perlawanan yang telah diharungi sebaliknya harus fokus perlawanan kepada perlawanan akan dihadapi.

“Harap-harap percaturan kami esok (malam ini) menjadi bagi memastikan peluang mengotakan sasaran pingat gangsa terus cerah,” kata Asyraaf.

Sebagai rekod, Malaysia adalah pasukan tercorot di kalangan pasukan yang bertanding pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam ranking Persekutua­n Persatuan Bola Sepak Antarbangs­a (FIFA).

Malaysia di ranking 80 manakala Filipina ranking 71, Myanmar (45), Vietnam 32) dan Thailand (29).

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia