Utusan Borneo (Sabah)

Amalan cah keting perlu dielak untuk menang PRU-14

-

LOR SETAR: Sikap tidak merestui calon yang dipilih pucuk pimpinan bagi mewakili parti pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 perlu dibuang agar kemenangan memihak kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sikap tersebut bukan sahaja gagal memberi kemenangan, malah akan merosakkan perpaduan di kalangan anggota parti dan menjadikan parti terus lemah dan hilang kepercayaa­n di kalangan rakyat.

Katanya, setiap anggota parti sepatutnya mempunyai sikap kesetiaan secara menyeluruh jika seseorang calon dipilih sama seperti kesetiaan mereka kepada presiden parti dan pengerusi badan perhubunga­n Umno negeri.

“Di dalam PRU, siapa saja yang bertanding mesti kita sokong kerana setiap kali saya pergi ke bahagian manapun mereka akan katakan menyokong penuh dan setia kepada pengerusi badan perhubunga­n, setia kepada kepimpinan presiden parti dan lain lain.

“Ini mesti diteruskan jika calon nanti ditentukan oleh pengerusi perhubunga­n dan presiden, yang patut kita kena patuh dan akur. Jadi kalau ada sikap tak akur kepada calon yang dinamakan dan kita pula bertindak untuk membentes calon-calon terbabit tentu kita akan kalah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidanga­n perwakilan Umno bahagian Kuala Kedah di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdullah Hasnan serta barisan kepimpinan Umno bahagian Kuala Kedah.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, B N masih mempunyai peluang untuk menarik pengundi menyokong parti itu kerana kekalahan yang dialami pada PRU-13 boleh diperbaiki.

“Sekarang ini kita kalah pun tak banyak. Contohnya di Kuala Kedah, kita kalah sekitar tiga peratus di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen lebih kurang 5,000 undi dan tak ada sebab kita tak boleh menang, tapi kalau ada sikap cantas-mencantas dan sabotaj parti di kalangan kita, parti mesti tidak akan menang sebab lari sedikit pun kita kalah,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia