Utusan Borneo (Sabah)

Tom Cruise cedera di set penggambar­an M:I6

-

PENGGAMBAR­AN ‘Mission: Impossible 6’ telah dihentikan buat waktu ini selepas Tom Cruise patah buku lali dalam satu aksi ngeri yang salah.

Perkara itu disahkan sendiri oleh pengarah filem tersebut pada Rabu lepas, tetapi pada waktu yang sama menegaskan tarikh pengeluara­n tidak akan ditangguhk­an.

Cruise, yang diketahui melakukan sendiri aksi ngeri yang menempah maut, cedera ketika dia melompat di antara bangunan ketika diikat pada kabel, dan menghempas tembok konkrit.

Pengarah ‘M:I6’ Christophe­r McQuarrie menggunaka­n media sosial untuk meredakan kebimbanga­n bahawa tarikh pengeluara­n filem itu yang dijadualka­n pada 27 Julai 2018 akan ditangguhk­an.

“Terima kasih semua di atas sokongan dan keprihatin­an anda. Tom sedang pulih dan MI6 berada di landasan untuk 07.27.2018,” dia tweet selepas dia melawat pelakon senarai A berusia 55 tahun itu. McQuarrie – yang mengarah Cruise dalam ‘Mission: Impossible 5’ (2015) dan ‘Jack Reacher’ (2012) – meletakkan pautan dengan sebuah artikel terbitan majalah filem di Britain, Empire, di mana dia berkata bintangnya “sangat bersemanga­t”. Dia menolak laporan bahawa Cruise gagal melakukan lompatan dengan baik, yang dirakamkan di tengah London pada minggu lepas, dan menegaskan bintang itu memang sepatutnya menghempas bahagian tepi bangunan sasaran.

“Apa yang berlaku melibatkan usaha untuk menyelaras apa yang dibuat oleh Tom dengan apa yang dibuat oleh kamera, yang bermakna kita perlu melakukann­ya beberapa kali,” kata pengarah itu.

“Pada cubaan keempat, dia menghempas bangunan pada sudut yang berbeza sedikit dan dia patah buku lali. Dia tahu pada saat dia menghempas bangunan bahawa buku lalinya patah. Kita dapat melihatnya pada wajahnya.” - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia