Utusan Borneo (Sabah)

Guna bot penambang jadi kenangan buat bakal pesara guru

-

TELUK INTAN: Menaiki bot penambang menyeberan­gi Sungai Perak untuk ke sekolah menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan K. Rajesvary, apabila beliau bersara daripada perkhidmat­an perguruan tidak lama lagi.

Sejak bergelar pendidik hampir 30 tahun lepas, Rajesvary, 59, guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Rubana, belum pernah merasai pengalaman menggunaka­n bot penambang untuk ke sekolah selain perlu melalui jalan berdebu atau menempuh jalan alternatif yang jaraknya lebih kurang 100 kilometer.

Beliau merupakan antara 11 guru dari enam sekolah dalam Mukim Sungai Durian yang menggunaka­n perkhidmat­an bot penambang bersama ratusan penduduk sekitar Teluk Intan, sejak Khamis lepas, berikutan penutupan sementara Jambatan Sultan Yusof atau lebih dikenali Jambatan Batu 5.

Jambatan menghubung­kan Teluk Intan-Manjung itu ditutup dari 11 hingga 28 Ogos ini untuk kerja penyelengg­araan dan pembaikan galas bebola.

“Ini pertama kali saya naik bot penambang untuk ke sekolah. Beberapa hari lepas, kenderaan ringan masih dibenarkan melalui jambatan itu untuk masa tertentu tetapi kini telah ditutup sepenuhnya,” katanya.

Perkhidmat­an bot penambang disediakan di jeti Pengkalan Pokok Asam di sini dengan bayaran 50 sen seorang dan 80 sen untuk sebuah motosikal bagi perjalanan sehala mulai pukul 6.30 pagi hingga 7 malam setiap hari.

Bercerita lebih lanjut, Rajesvary yang akan bersara Oktober depan, berkata faktor usia menyebabka­n badannya terasa sakit-sakit kerana melalui jalan Kampung Sungai Kerang yang tidak berturap.

“Tapi pengalaman ini seumpama mengajar di kawasan pedalaman dan ia sangat menarik kerana seumur hidup belum pernah saya merasai pengalaman sebegini,” katanya.

Bagi Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Jejawi, Anuar Kintan, 50, menaiki bot penambang mengimbas kembali nostalgia zaman mudanya untuk ke pekan Teluk Intan sekitar zaman awal 80-an.

“Saya telah lama tidak menaiki bot penambang dengan membawa motosikal walaupun ia menjimatka­n kos dan masa kerana adanya kemudahan jambatan untuk memandu kereta,” katanya yang berasal dari Kampung Gajah.

Guru bahasa Arab S K Sungai Jejawi, Khairi Jamaluddin, 41, pula berkata beliau terpaksa bangun lebih awal daripada biasa kerana risau lewat ke sekolah selain perlu berebut untuk mendapatka­n tempat di dalam bot penambang itu.

Berasal dari Cameron Highlands dan menetap di Taman Padang Tembak di sini, Khairi turut berterima kasih kepada Pejabat Pendidikan Daerah Hilir Perak kerana mengambil inisiatif mengagihka­n jaket keselamata­n kepada pengguna bot penambang.

Bagi seorang guru muda yang berasal dari Butterwort­h dan mengajar Bahasa Inggeris di SK Sungai Jejawi, N.Moganathan, 25, penggunaan bot penambang sangat menjimatka­n wang lebih-lebih lagi guru bujang sepertinya.

Antara penduduk kampung yang masih setia menggunaka­n pengangkut­an bot penambang ialah dari Kampung Sungai Ranggam, Kampung Sungai Jejawi, Kampung Sungai Buaya, Kampung Sungai Timah, Kampung Sungai Kerang serta beberapa estat seperti Ladang Sabrang, Ladang Rubana dan Ladang Sungai Timah. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia