Utusan Borneo (Sabah)

Gerakan dedah surat bantah kilang haram kepada ketua menteri

-

GEORGE TOWN: Gerakan Pulau Pinang pada Isnin mendedahka­n surat bantahan bertarikh 25 Sept tahun lepas berhubung kilang yang beroperasi secara haram di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas itu telah dihantar kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Naib pengerusi Gerakan Oh Tong Keong berkata surat yang dihantar Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung itu diterima oleh wakil kerajaan negeri pada 4 Okt tahun lepas namun sehingga kini kilang itu masih dibenarkan beroperasi secara haram.

“Hal ini jelas menunjukka­n bahawa kerajaan negeri gagal menangani masalah yang dihadapi oleh rakyat khususnya penduduk di Kampung Sungai Lembu,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Menurutnya, surat itu telah mendapat tanda tangan 179 wakil penduduk di kawasan berkenaan bagi mendesak kerajaan negeri supaya mengambil tindakan terhadap kilang yang mencemarka­n kawasan perkampung­an mereka.

Beliau berkata kegagalan kerajaan pimpinan DAP menangani isu kilang haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas itu telah membuktika­n bahawa mereka tidak mempunyai panduan urus tadbir yang cekap.

Minggu lepas, Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalanka­n operasi di kilang haram memproses serbuk kayu itu, yang dipercayai mencemari alam sekitar di Kampung Sungai Lembu. SPRM turut mengambil beberapa dokumen dari pejabat Majlis Perbandara­n Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda bagi membantu siasatan kes itu.

Susulan itu, SPRM menahan anggota exco kerajaan negeri Pulau Pinang Phee Boon Poh dan dua beranak yang merupakan pengarah dan pengurus kilang itu bagi membantu siasatan.

Isu berhubung kilang haram itu pernah dibangkitk­an anggota Dewan Undangan Negeri Penanti daripada PKR Dr Norlela Ariffin pada persidanga­n Dewan Undangan Negeri yang mendakwa banyak kilang haram dibiar beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan negeri. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia