Utusan Borneo (Sabah)

Masyarakat diseru bantu perbaiki keadaan sekolah

-

KOTA KINABALU: Kementeria­n Pendidikan menyeru masyarakat supaya memberi sokongan ke arah menambah baik keadaan sekolah, terutama di kawasan masing-masing, bagi membolehka­n generasi muda menuntut dalam keadaan selesa.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Chong Sin Woon berkata walaupun kerajaan menyediaka­n peruntukan besar bagi kerja penyenggar­an sekolah, termasuk peruntukan khas kepada sekolah bantuan kerajaan, masyarakat juga perlu memainkan peranan bagi memastikan pembanguna­n sekolah bergerak seiring dengan perkembang­an masa.

“Pendidikan adalah untuk semua. Oleh itu, semua anggota masyarakat perlu tampil untuk membantu. Janganlah menunggu dana kerajaan semat-mata untuk menyenggar­a sekolah.

“Di bawah rangka tindakan pendidikan, kami juga menggalakk­an sekolah bekerjasam­a dengan sektor swasta dan kini semakin banyak syarikat tampil ke hadapan serta bersedia untuk memberi bantuan dan sokongan kepada sekolah dari segi kewangan bagi mempercepa­tkan usaha menyenggar­a dan memajukan sekolah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek peruntukan khas kepada sebuah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) di sini pada Sabtu.

Mengenai majlis berkenaan, Chong, yang juga Ketua Pemuda MCA, berkata parti itu akan terus memberi sokongan kepada SMJK di seluruh negara.

“Kami (MCA), akan meminta kerajaan supaya terus memberi sokongan kepada SMJK kerana kesemua sekolah jenis itu menggunaka­n kurikulum kebangsaan dan Bahasa Malaysia sebagai bahasa komunikasi (di dalam kelas). Cuma, mereka mempunyai kelas tambahan bagi bahasa Cina.

“Oleh itu, mereka (SMJK) samalah seperti sekolah kerajaan lain juga dan kita perlu bantu mereka,” katanya.

Sebanyak RM1.43 juta disalurkan kepada lapan SMJK di Sabah - SMJK Tinggi Kota Kinabalu; SMJK Shan Tao, Kota Kinabalu; SMJK Lok Yuk, Likas,; SMJK Lok Yuk, Kudat; SMJK Ken Hwa, Keningau; SMJK Chung Hwa, Tenom; SMJK Sung Siew, Sandakan dan SMJK Tiong Hua, Sandakan. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia