Utusan Borneo (Sabah)

Pitam semasa pemanas badan, Nur Dhabitah tetap cekal

-

KUALA LUMPUR:”Tibatiba semasa latihan pemanas badan, ketika nak buat somersault, saya pitam dan saya jatuh terlentang... mendatar,” kata penerjun negara Nur Dhabitah Sabri menceritak­an kisah “perit” dilaluinya sebelum final acara 3m papan anjal wanita pada Sabtu.

Sebab itu katanya, dalam pertanding­an pada Sabtu, apa yang ada dalam fikiran adalah untuk segera menghabisk­an lima terjunan berikutan keadaan badan yang tidak selesa dan sakit.

“Saya punya belakang leher sampai bawah tidak boleh gerak dan keras... tidak rasa. Mereka (jurulatih dan pegawai) minta saya buat pemeriksaa­n, tapi saya mahu teruskan aksi dan kemudian baru buat pemeriksaa­n (doktor),” katanya.

Keadaan itu telah menjejaska­n aksi penerjun berumur 18 tahun itu sekaligus terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara 3m papan anjal wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil.

Nur Dhabitah bakal beraksi dalam dua lagi acara iaitu 1m papan anjalhari ini, dan berganding­an dengan Wendy Ng Yan Yee dalam acara 3m papan anjal seirama pada Selasa.

“Saya harap badan saya akan lebih baik supaya saya dapat beraksi dengan lebih selesa nanti. Untuk hari ini, jurulatih saya berpuas hati sebab walaupun dalam keadaan sakit, saya masih boleh membuat terjunan yang baik,” katanya.

Pingat emas dimenangi Wendy Ng selepas mengumpul 342.95 mata manakala pingat gangsa dimenangi Ashlee Tan Yi Xuan daripada Singapura yang mengumpul 233.60 mata.

Sementara itu, dalam acara 3m papan anjal lelaki pula, Ooi Tze Liang mempertaha­nkan pingat emas yang dimenangi dalam edisi 2015, di Singapura.

Tze Liang ternyata tidak tercabar apabila mengumpul 458.00 mata selepas menamatkan enam terjunan, manakala pingat perak dimenangi rakan senegara Ahmad Amsyar Azman yang mengumpul 432.25 mata.

Penerjun Singapura, Timothy Lee Han Kuan pula meraih gangsa selepas mengumpul 366.35 mata.

“Saya gembira dapat mempertaha­nkan emas saya walaupun persembaha­n saya sebenarnya tidak sehebat di Singapura. Saya letak diri sendiri sebagai pencabar utama dan sentiasa perbaiki kelemahan dalam terjunan. Pada saya ia bukan kemenangan mudah, sebab Amsyar dan Timothy juga beri saingan sengit,” kata Tze Liang.

Dalam satu lagi acara, pasangan senior dan muka baharu negara Pandelela Riong-Gabriel Gilbert Daim meraih pingat emas dalam acara berpasukan yang diperkenal­kan pada temasya Sukan SEA ke-29 kali ini. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia