Utusan Borneo (Sabah)

KL2017 temasya terakhir Azizul

-

NILAI: Juara Keirin Dunia 2017 Azizulhasn­i Awang berkata temasya Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur (KL2017) adalah yang terakhir untuk dirinya bagi memberi laluan kepada pelumba pelapis, selain mahu memberi fokus kepada Sukan Komanwel dan Olimpik Tokyo.

Beliau berkata temasya dwitahunan itu di Korat, Thailand pada 2007 sepatutnya merupakan penampilan sulung dan terakhirny­a, namun untuk KL2017 beliau sanggup menyertain­ya kerana rasa teruja untuk beraksi di laman sendiri.

“Sukan SEA selepas ini saya akan bagi peluang pada generasi muda. Kalau betul-betul memerlukan bolehlah. Kalau boleh saya nak beri peluang kepada generasi pelapis sebagai pendedahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjalani latihan trek di Velodrom Nasional di sini, pada Sabtu.

Anak kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata beliau secara jujurnya tidak berasa tertekan, malah sangat teruja untuk melakukan yang terbaik di hadapan penyokong sendiri.

“Saya sangat rasa teruja dan sebab itulah saya pulang untuk beraksi di hadapan penonton tuan rumah (Malaysia) yang 95 peratus tidak pernah melihat saya beraksi secara live dan biasanya lihat di televisyen, internet dan sebagainya.

“Jadi inilah peluang kepada rakyat Malaysia untuk lihat saya beraksi dalam keirin dan sprint. Semoga dengan adanya velodrom ini, ia akan membuka mata dan pemahaman rakyat Malaysia tentang acara berbasikal trek,” katanya.

Mengulas mengenai persiapan, Azizul yang turut diberi gelaran ‘The Pocket Rocketman’ berkata hari ini merupakan sesi latihan akhir beliau dan rakan gandingann­ya Muhammad Shah Firdaus Sharom, sebelum berlumba pada Isnin dan Selasa depan.

“Feedback daripada jurulatih tadi, tengok daripada pergerakan kami berada dalam keadaan yang terbaik. Saya dan (Muhammad) Shah (Firdaus) amat teruja untuk beraksi lusa nanti,” katanya. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia