Utusan Borneo (Sabah)

Jabatan Penjara sedia bantu beri kaunseling kepada pelajar bermasalah

-

TAIPING: Jabatan Penjara sedia membantu Kementeria­n Pendidikan menyediaka­n modul kaunseling untuk memberi pendedahan kepada pelajar sekolah yang mempunyai masalah disiplin tentang kesan masa depan mereka apabila melakukan kesalahan jenayah dan dadah.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar berkata ini sekali gus memberi kesedaran kepada pelajar untuk mengelak dan mencegah daripada terlibat dalam kesalahan itu.

“Kita memang bersedia untuk memberikan pendedahan awal bagi menyedarka­n pelajar supaya mereka tidak terbabit dengan jenayah dan dadah.

“Model pendidikan kaunseling yang kita ambil dari United Kingdom ini boleh digunakan bagi meningkatk­an kesedaran dan ketahanan mental dalam diri pelajar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Perbarisan Tamat Latihan Siswa Siswi Koreksiona­l (Siskor) Jabatan Penjara di sini pada Ahad.

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata mana-mana pelajar yang mempunyai masalah disiplin serius akan dihantar menjalani program pemulihan di penjara dan lokap tidak lama lagi bagi memerangi gejala sosial di sekolah.

Dalam ucapannya, Zulkifli berkata Jabatan Penjara telah melatih seramai 600 pelajar sejak Siskor ditubuhkan pada 2013.

“Kami akan terus memberikan kerjasama kepada pihak universiti dalam apa jua bidang yang bersesuaia­n demi matlamat melahirkan insan cemerlang,” katanya sambil menambah program itu akan diperluask­an ke universiti lain di seluruh negara.

Beliau berkata Jabatan Penjara tidak terkecuali mendukung hasrat untuk bersama-sama melahirkan siswa siswi yang prihatin dengan mendedahka­n ilmu kepenjaraa­n dalam kursus itu. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia