Utusan Borneo (Sabah)

Ringgit dijangka diniagakan 4.25-4.27 berbanding dolar AS

-

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada paras 4.2500 hingga 4.2700 minggu ini, disokong permintaan meningkat terhadap mata wang tempatan susulan kenaikan harga komoditi serta kelemahan dolar AS.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidik­an Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, berasaskan data ekonomi positif Malaysia dan tahap keyakinan tinggi pengguna yang diumumkan baru-baru ini, momentum menaik ringgit dijangka berpanjang­an hingga minggu ini memandangk­an sentimen pelabur terhadap unit tempatan meningkat.

“Aliran masuk dana asing ke dalam negara juga turut dijangka menjelang pilihan raya umum yang belum diumumkan lagi.

“Berdasarka­n ekonomi yang berkembang pada 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini, ia menunjukka­n Malaysia mencatat pertumbuha­n kukuh dalam keadaan ekonomi makro am.

“Kami menjangkak­an mata wang tempatan meningkat kepada 4.25 minggu depan didorong tadbir urus yang baik,” katanya kepada Bernama.

Pada 18 Ogos, Bank Negara Malaysia berkata, ekonomi Malaysia kekal berada dalam momentum menaik sejak suku kedua 2016, dengan pertumbuha­n Keluaran Dalam Negara Kasar 5.8 peratus pada suku kedua 2017 berbanding 4.0 peratus pada suku yang sama 2016.

Bagi tempoh enam bulan, ekonomi berkembang 5.7 peratus.

Di peringkat luaran, Penganalis­is Pasaran Kanan OANDA, Jeffrey Halley berkata ringgit dijangka diniagakan tinggi minggu ini seiring mata wang negara pesat membangun lain, kepada paras 4.2700 berbanding dolar AS.

“Sekiranya tiada sebarang kejutan untuk menaikkan kadar faedah daripada Pengerusi Rizab Persekutua­n AS, Janet Yellen semasa Simposium Dasar Ekonomi Jackson Hole tahunan di AS, kami menjangkak­an kelemahan dolar AS berlarutan sehingga minggu depan (minggu ini),” katanya.

Berdasarka­n Jumaat ke Jumaat, ringgit diniagakan tinggi pada 4.2710/2740 berbanding dolar AS daripada 4.2880/2910 minggu lepas.

Nota tempatan turut ditutup tinggi minggu ini seiring mata wang negara pesat membangun lain.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakan­nya kukuh berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1397/1426 daripada 3.1423/1457, ringgit naik berbanding pound kepada 5.4801/4844 daripada 5.5247/5302, susut berbanding euro kepada 5.0411/0455 daripada 5.0311/0363, dan meningkat berbanding yen kepada 3.8980/8011 daripada 3.9285/9324 semasa Jumaat minggu lepas. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia