Utusan Borneo (Sabah)

Bursa Malaysia dijangka tidak banyak berubah

Pasaran kekal berhati-hati dengan menunggu hasil mesyuarat tahunan bank pusat di Jackson Hole, AS

-

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka terus berada dalam prestasi tidak banyak berubah minggu ini, dengan indeks penanda aras turun naik antara 1,760 dan 1,780 mata didorong faktor tempatan dan luaran.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidik­an Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata pasaran akan kekal berhati-hati serta mengambil langkah tunggu dan lihat, bagi menunggu hasil mesyuarat tahunan bankbank pusat di Jackson Hole, Wyoming, Amerika Syarikat (AS).

“Semua tumpuan terarah kepada ucapan Pengerusi Rizab Persekutua­n AS (Fed), Janet Yellen pada Jumaat lalu, yang dijangka memberi petunjuk bagi dasar monetari serta unjuran kadar faedah.

“Selain Yellen, yang akan mengakhiri tempoh jawatan pengerusi Fed pada Februari 2018, Presiden Bank Pusat Eropah, Mario Draghi juga memberi ucapan semasa mesyuarat itu, yang berlangsun­g dari 24 hingga 26 Ogos,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanap­un, Nazri Khan berkata faktor domestik masih baik dengan ringgit kekal berada di bawah paras 4.30 berbanding dolar AS, dan telah meningkat sebanyak 4.5 peratus daripada Januari tahun ini, ditambah harga komoditi yang stabil dengan minyak mentah melebihi AS$50 setong dan minyak sawit mentah di atas paras RM2,500 setan.

“Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia yang berkembang 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini menunjukka­n momentum (positif) dalam pertumbuha­n ekonomi. Ini mengatasi jangkaan, mengambil kira unjuran sepakat dalam kalangan pakar ekonomi iaitu kira-kira 5.4 peratus.

“Saya melihat faktor tempatan akan menyokong pasaran minggu ini, manakala faktor luaran berpotensi menjejaska­nnya, mendorong pasaran bergerak mendatar,” katanya.

Bagi minggu yang baharu berakhir, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI susut 7.05 mata kepada 1,769.17 daripada 1,776.22 minggu lepas.

Pergerakan dagangan dipengaruh­i oleh perkembang­an luaran, khususnya pergerakan di Wall Street yang mengambil petunjuk daripada mesyuarat tiga hari di AS itu selain Presiden AS Donald Trump yang mengancam melumpuhka­n kerajaan jika mereka enggan membiayai pembinaan tembok sepanjang sempadan AS-Mexico.

Di peringkat tempatan, kegagalan penggabung­an RHB Bank Bhd dan AMMB Holdings Bhd turut memberi sentimen negatif kepada Bursa Malaysia.

Berdasarka­n mingguan, Indeks FBM Emas susut 18.22 mata kepada 12,608.00, Indeks FBMT 100 kurang 18.07 mata kepada 12,266.19.

Indeks FBM Emas Syariah naik 26.63 mata kepada 12,797.51, FBM 70 meningkat 93.72 mata kepada 15,086.63, dan FBM Ace melonjak 154.57 mata kepada 6,666.57.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan merosot 84.28 mata kepada 16,693.20, Indeks Perusahaan kurang 12.52 mata kepada 3,217.76 bagaimanap­un Indeks Perladanga­n menokok 36.04 mata kepada 7,861.04.

Jumlah dagangan keseluruha­n meningkat kepada 9.60 bilion unit bernilai RM9.55 bilion daripada 8.30 bilion unit bernilai RM8.75 bilion minggu lepas.— Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia