Utusan Borneo (Sabah)

Johnathan Wong labuhkan tirai acara menembak KL2017

-

PETALING JAYA: Kejayaan Johnathan Wong Guanjie mengejutka­n juara Olimpik Hoang Xuan Vinh bagi meraih emas acara 10m air pistol lelaki merupakan detik terbaik untuk skuad negara pada hari terakhir acara menembak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, pada Sabtu.

Lebih manis, penuntut Universiti Putra Malaysia itu turut membidik rekod baharu Sukan SEA , 238.3 mata di Lapang Sasar Menembak Nasional di Subang, sekali gus menjadi hadiah terindah untuk hari jadinya yang ke25, Rabu lepas.

Kem negara turut mencatat satu lagi sejarah selepas Muhd Ezuan Nasir Khan menjadi penembak pertama Malaysia membidik emas dalam acara 50m rifle prone lelaki dengan rekod baharu Sukan SEA iaitu 242.8 mata, sekaligus menamatkan penantian Malaysia untuk meraih emas dalam acara berkenaan.

Turut cemerlang ialah Benjamin Khor Cheng Jie yang berjaya menamatkan penantian 10 tahun Malaysia dengan membidik emas dalam acara double trap individu lelaki dan mengetepik­an penembak muda negara, Abraham Eng Wei Jin, 17 yang membuat penampilan sulung pada KL2017.

Selain Jonathan, Muhd Ezuan dan Benjamin Khor, Malaysia turut meraih satu lagi emas menerusi Alia Sazana Azahari dalam acara 25m pistol wanita selain mengutip lima perak dan tiga gangsa.

Thailand mengekalka­n penguasaan mereka untuk dua edisi berturut-turut selepas edisi 2015 di Singapura menerusi kutipan lima emas, dua perak dan lima gangsa manakala Singapura di tempat ketiga keseluruha­n dengan dua emas, empat perak dan dua gangsa.

Prestasi cemerlang skuad menembak mendapat pujian jurulatih kebangsaan, Mohd Sabki Mohd Din yang berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan pada edisi ke-29 temasya sukan dwitahunan itu. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia