Utusan Borneo (Sabah)

Penolong jurutera didakwa buat tuntutan palsu bina surau

-

KUANTAN: Seorang penolong jurutera di Pejabat Tanah dan Daerah Rompin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas tuduhan membuat tuntutan palsu RM65,340 bagi kerja pembinaan surau, tahun lalu.

Mohd Azly Kamarudin, 31, yang beralamat di Kampung Feri Pontian, Kuala Rompin dekat sini membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 20 Dis 2016 di Pejabat Tanah dan Daerah Rompin dengan menggunaka­n Borang Inden Kerja bernombor PLB/R/ PJ5/43/2016 iaitu dokumen perakuan pengesahan kerja telah disiapkan oleh pembekal berhubung Pelarasan Harga Bagi Kerja-Kerja Membina Surau serta Kerja Berkaitan di Perumahan Pontian Jaya Kuala Rompin.

Tertuduh yang bertubuh kecil itu didakwa menandatan­gani borang itu sebagai perakuan kerja telah disiapkan dengan sempurna danmemuask­anolehpemb­ekal, sedangkan kerja tersebut tidak dilaksanak­an sepenuhnya oleh pembekal.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin atas alasan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah kesalahan serius.

Bagaimanap­un, tertuduh merayu supaya jaminan itu dikurangka­n kerana gaji bersihnya hanya RM2,000 dan digunakan untuk menyara ibu bapanya yang uzur serta adik yang belajar di politeknik.

“Saya juga mempunyai dua pinjaman bank yang perlu dijelaskan dan satu pinjaman belajar. Saya harap sangat jaminan saya dapat dikurangka­n kerana saya belum melantik peguam,” katanya.

Habibah menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Sept depan untuk sebutan semula kes untuk tertuduh melantik peguam.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia