Utusan Borneo (Sabah)

Pintu masih terbuka untuk Komalam

-

KUALA LUMPUR:Pelari pecut S. Komalam Shally yang digugurkan daripada skuad Sukan SEA masih berpeluang mewakili negara dalam pertanding­an akan datang, kata Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim.

Beliau berkata atlet berusia 29 tahun itu boleh meneruskan latihan untuk Sukan Asia Jakarta tahun depan dan Sukan SEA Manila 2019 dan sekiranya atlet itu memenuhi tahap kelayakan, beliau boleh disenaraik­an semula ke dalam skuad.

“Saya telah bercakap dengan Komalam dan pihak kami tiada masalah dengannya, beliau masih boleh meneruskan latihan untuk Sukan SEA atau Sukan Asia akan datang. Asalkan beliau layak dan memenuhi standard ditetapkan dan mematuhi SOP (prosedur operasi standard), semuanya ok,” katanya kepada Bernama.

Komalam yang pada awalnya disenaraik­an untuk 200m wanita dan 4x100m lari berganti-ganti digugurkan daripada skuad beberapa minggu sebelum temasya itu berikutan masalah disiplin yang tidak diketahui.

Keputusan itu menyaksika­n kuartet wanita dibarisi Fathin Faqihah Mohd Yusof, Siti Fatima Mohamad, Azreen Nabila Alias dan Zaidatul Husniah Zulkifli gagal mempertaha­nkan pingat gangsa yang dimenangi pada Sukan SEA Singapura 2015, selepas menduduki tangga tercorot antara lima pasukan yang bertanding, dengan catatan masa 45.39s.

Sementara itu, Komalam yang terlepas peluang untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri, tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai satu rintangan, sebaliknya mahu terus fokus pada kejohanan akan datang.

“Mungkin saya tidak bertuah untuk bertanding di sini, tetapi saya tidak mahu berputus asa oleh keadaan itu, tetapi ada rasa terkilan pada rakan sepasukan saya. Saya akan berlatih dengan gigih untuk melayakkan diri ke Sukan Asia pada Ogos tahun depan,” katanya. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia