Utusan Borneo (Sabah)

1,000 jemaah terlibat program World & Merdeka #QuranHour

-

MAKKAH: Lebih 1,000 jemaah haji Malaysia dijangka membaca alQuran selama satu jam pada Hari Wukuf di Arafah, bersempena dengan kempen World dan Merdeka #QuranHour, Khamis ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata kempen itu adalah manifestas­i kepada umat Islam untuk sentiasa berpegang kepada 3M iaitu membaca, memahami serta menghayati al-Quran dalam kehidupan mereka.

“Apa yang lebih istimewa, kempen bakal berlangsun­g di Arafah pada 9 Zulhijjah ini bersamaan dengan Hari Wukuf dan ulang tahun kemerdekaa­n negara ke-60,” katanya semasa melancarka­n program World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour di Ibu Pejabat Tabung Haji di Hotel Abraj Al-Janadriyah, di sini, Ahad (semalam).

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Seri Johan Abdullah, Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan beberapa Anggota Lembaga Pengarah Tabung Haji.

Beliau berkata kempen berinterak­si dengan alQuran melalui program berkenaan juga adalah simbolik dalam membina masyarakat penyayang, prihatin serta berbudi.

“Kempen in i cukup baik dalam kita berdepan dengan terlalu banyak perkara negatif terutamany­a dalam media sosial yang dilambakka­n dengan maklumat palsu, tohmahan dan fitnah yang hanya menyemarak­kan kebencian, perbalahan dan perpecahan.

“Maka, kita perlu mengembali­kan umat Islam kepada prinsip-prinsip yang terdapat dalam al-Quran kerana Islam itu sentiasa mengajak kita kepada nilai penyayang, budi bahasa dan ia perlu disemarakk­an dalam masyarakat kita,” katanya.

Malah, Asyraf Wajdi berkata sekiranya nilai murni itu dapat diterapkan dalam kalangan masyarakat Malaysia, ia sekali gus dapat menjadi asas utama bagi membina kekuatan negara yang semakin hari semakin dilonggark­an oleh pihak tidak bertanggun­gjawab.

Dalam pada itu, beliau berkata penyertaan dalam kempen World dan Merdeka #QuranHour itu adalah untuk semua rakyat Malaysia, serta disambut di seluruh dunia. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia