Utusan Borneo (Sabah)

KL2017: Rakyat bangga kejayaan atlet: Najib

-

KUALA LUMPUR: Pencapaian cemerlang atlet Malaysia pada Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) bukan sahaja membanggak­an negara, malah membawa kepada suasana lebih positif dalam kalangan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Najib, beliau berjumpa dengan ramai orang yang memberikan reaksi positif memuji peranan dan kejayaan kontinjen Malaysia.

“Jadi saudara saudari sekalian telah mengubah ‘mood’ negara kita dan boleh dikatakan tanpa mengira latar belakang keturunan, agama, budaya dan warna kulit, semua rakyat Malaysia begitu bangga dan teruja dengan kejayaan kontinjen negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis meraikan kejayaan Malaysia mencapai sasaran 111 pingat emas KL2017 di hotel penginapan kontinjen negara, di sini malam ini. Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Kontinjen Malaysia Datuk Marina Chin.

Malaysia meraih sasaran 111 pingat emas menerusi juara keirin dunia, Mohd Azizulhasn­i Awang dalam acara pecut lelaki final di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan.

Najib berkata kejayaan atlet merangkul pingat emas juga memberi perangsang kepada atlet lain untuk mencapai kejayaan.

Beliau turut memuji semangat juang yang tinggi atlet Malaysia dalam KL2017.

Katanya sebagai contoh skuad bola keranjang wanita negara meraih pingat emas walaupun ketinggala­n dan bangkit menundukka­n Thailand.

Mengenai permintaan cuti umum sempena kejayaan Malaysia itu, Najib berkata; “Tunggu dulu lah, sebab Sukan SEA belum habis lagi,”. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia