Utusan Borneo (Sabah)

KPM teliti bentuk ganjaran atlet pelajar cemerlang pada Sukan SEA

-

SEREMBAN: Kementeria­n Pendidikan sedang meneliti bentuk ganjaran yang akan diberikan kepada pelajar dan guru yang berjaya meraih pingat pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), kata Timbalan Menterinya Datuk Chong Sin Woon.

Beliau berkata bentuk ganjaran itu akan diumumkan oleh Menteri berkenaan Datuk Seri Mahdzir Khalid apabila telah diputuskan kelak.

“Kita tunggu pengumuman daripada menteri sendiri,” katanya kepada Bernama selepas majlis sambutan Aidiladha bersama jemaah Masjid Kariah Kampung Dacing dan Masjid Kariah Taman Panchor Jaya di sini, Sabtu.

Pada 8 Ogos lalu, Mahdzir berkata kementeria­n itu akan memberikan insentif istimewa kepada atlet pelajar dan guru yang berjaya meraih pingat pada temasya KL20017 yang menyaksika­n 134 pelajar dan lima guru terpilih mewakili negara.

Mereka merangkumi 67 dari Sekolah Sukan Malaysia, 47 dari sekolah harian, sekolah swasta (16), kolej vokasional (3) dan seorang dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Antara mereka ialah pemain badminton perseorang­an wanita negara Goh Jin Wei, Grace Wong (baling tukul besi), jaguh pecut Asia Tenggara Khairil Hafiz Jantan dan Badrul Hisyam Abdul Manap manakala atlet guru antaranya ialah kapten pasukan hoki Sukri Mutalib, Puah Pei San (bola jaring) dan Ahmad Faiz Noor (kriket).

Mengulas lanjut, Chong berkata pihaknya tidak gusar dengan prestasi pelajaran atlet terbabit memandangk­an kebanyakka­n latihan diadakan selepas sesi persekolah­an. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia