Utusan Borneo (Sabah)

Jangan bangkit isu kaum, agama

Dalam soal pelantikan anggota lembaga pengarah Petros

-

KUCHING:Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pada Sabtu mengingatk­an mereka yang berkenaan agar tidak membangkit­kan isu kaum dan agama dalam soal pelantikan anggota lembaga pengarah Petros.

Ini kerana katanya, mereka yang dilantik adalah individu yang sangat berpengala­man dalam industri minyak dan gas termasuk Mohd Medan Abdullah yang merupakan keturunan Kelabit yang beragama Islam, sekali gus menjawab kritikan berhubung ketiadaan wakil Dayak dalam syarikat itu.

Sebenarnya sudah ada wakil Dayak dalam Petros iaitu Mohd Medan, katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai siapa daripada kaum Dayak yang akan dilantik ke dalam Lembaga Pengarah Petros.

Baru-baru ini Abang Johari mengumumka­n pelantikan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak yang pernah berkhidmat dengan Malaysia LNG Sdn Bhd, Tan Sri Hamid Bugo sebagai Pengerusi Petros bersamasam­a Mohd Medan, Sharbini Suhaili, Zuraimi Sabki dan Heng Hock Heng sebagai anggota lembaga pengarah.

Bagaimanap­un, terdapat segelintir pihak daripada komuniti Dayak yang mengkritik tidak ada wakil mereka dalam syarikat minyak milik kerajaan negeri itu.

Susulan kritikan itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata beliau telah ditugaskan oleh Ketua Menteri untuk mengenal pasti calon yang layak daripada komuniti Dayak.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata pelantikan lembaga pengarah yang berkelayak­an akan memastikan Petros dapat mara di landasan yang strategik selain beroperasi menurut model perniagaan yang kukuh bagi memastikan objektif penubuhann­ya tercapai.

Beliau juga menegaskan syarikat minyak milik kerajaan negeri itu tidak akan menjadi rakan kongsi junior Petronas.

Penubuhan Petros akan membolehka­n kerajaan negeri Sarawak terlibat dalam sektor industri huluan minyak dan gas terutama dalam penerokaan dan penggalian minyak dan gas di perairan negeri.

Syarikat itu kini sedang mengenal pasti individu berkelayak­an bagi mengisi beberapa lagi jawatan utama termasuk ketua pegawai eksekutif bagi membolehka­nnya beroperasi menjelang suku pertama tahun depan.- Bernama

DATUK AMAR ABANG JOHARI TUN OPENG Ketua Menteri Sarawak “Mereka

yang dilantik adalah individu yang sangat berpengala­man dalam industri minyak dan gas termasuk Mohd Medan Abdullah yang merupakan keturunan Kelabit yang beragama Islam, sekali gus menjawab kritikan berhubung ketiadaan wakil Dayak dalam syarikat itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia