Utusan Borneo (Sabah)

Kerajaan prihatin kebajikan penduduk luar bandar

-

KUALA NERUS: Pembukaan pusat hemodialis­is di Kampung Maras merupakan antara bukti kesungguha­n kerajaan membantu golongan pesakit yang memerlukan, terutama penduduk luar bandar seperti dalam manifesto kerajaan Barisan Nasional ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Pengerusi Jawatankua­sa Kesihatan, Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Roslee Daud berkata sebaik memenangi PRU13, kerajaan Terengganu tidak berlengah lagi menunaikan janji itu dengan pembukaan pusat hemodialis­is di Pusat Transforma­si Luar Bandar (RTC) Bukit Besi di Dungun pada April 2015.

“Sebulan selepas itu, kami buka satu lagi pusat hemodialis­is di Hospital Besut dan pada Mac tahun lalu, pusat hemodialis­is di Kampung Maras pula memulakan operasinya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Ketika ini terdapat 25 mesin rawatan di tiga pusat hemodialis­is sedia ada dan kerajaan negeri sedang berusaha membuka tiga lagi pusat rawatan sama di Alor Limbat, Marang; Seberang Takir, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.

Beliau berkata di Hospital Besut, pusat hemodialis­is itu diuruskan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) , Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) manakala di Kampung Maras (MAIDAM dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT)).

“Kejayaan kerajaan BN Terengganu merealisas­ikan manifesto ini membuktika­n kesungguha­n kami membantu golongan pesakit yang memerlukan, terutama penduduk di luar bandar.

“Kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Ketengah, MBKT dan MAIDAM ini sudah dimanfaatk­an seramai 111 pesakit buah pinggang setakat ini dan jumlahnya dijangka akan terus bertambah pada masa akan datang,” kata Roslee.

Seorang warga emas, Muhammad Ibrahim, 61, merupakan antara pesakit buah pinggang yang menerima manfaat kemudahan kesihatan percuma di pusat hemodialis­is yang diuruskan menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama agensi lain itu.

“Pakcik menjalani rawatan hemodialis­is secara percuma hasil bantuan yang disediakan pelbagai agensi kerajaan ini sudah empat tahun dan tiga bulan.

“Pakcik bersyukur sangat sebab rawatan ini ditanggung sepenuhnya oleh agensi kerajaan kerana jika pakcik lakukannya di pusat rawatan hemodialis­is milik swasta, kos yang pakcik perlu bayar ialah RM153,000 sepanjang tempoh itu,” katanya.

Kegembiraa­nnya bertambah apabila bermula Mac tahun lepas, pusat hemodialis­is milik kerajaan memulakan operasinya di Kampung Maras dan jaraknya lebih dekat dengan rumah beliau di Tepoh berbanding perlu berulangal­ik ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebelum ini.

Perasaan sama turut dirasai Siti Mariam Musa, 36, isteri kepada pesakit buah pinggang, Mohamad Rosdan Jusoh, 42, yang menikmati kemudahan rawatan percuma itu sejak sebulan lalu.

“Mula-mula dapat tahu suami perlu jalani rawatan tiga kali seminggu, saya memang risau sangat kerana buntu memikirkan sumber kewangan kami sekeluarga yang sangat terhad. Namun apabila doktor memberitah­u rawatan itu adalah percuma hasil sumbangan MAIDAM, barulah saya rasa lega.

“Bagaimanap­un kami masih perlu keluarkan kos tambang teksi RM80 dan makan minum kira-kira RM20 untuk setiap sesi rawatan kerana tidak mempunyai sebarang kenderaan untuk ke pusat hemodialis­is ini,” katanya yang berulang alik 70 kilometer untuk menemani suaminya menjalani rawatan itu.

Ibu kepada empat anak berusia antara 12 dan 17 tahun itu turut berterima kasih kerana menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM700 setiap bulan buat perbelanja­an mereka sekeluarga. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia