Utusan Borneo (Sabah)

Nelayan cedera parah, disyaki akibat ditetak pekebun

- Oleh AMIR ANUAR

SEMPORNA: Seorang nelayan cedera parah akibat ditetak di kepala dan leher dengan parang dalam kejadian di hadapan kedai Kg BangauBang­au, di sini kira-kira jam 7 malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Semporna Supt Peter Umbuas berkata mangsa dikenali sebagai Mudrica, 31, mengalami pendarahan yang banyak akibat kejadian terbabit.

“Pada hari yang sama, polis bertindak menangkap seorang pekebun berusia 62 tahun kerana disyaki sebagai suspek utama kes ini,” katanya di sini pada Isnin.

Beliau berkata pengadu, 66, yang juga bapa mangsa membuat laporan polis pada jam 7 malam berkenaan kejadian yang menimpa anak lelakinya.

Hasil siasatan awal polis, kejadian itu disyaki berlaku pada kira-kira jam 6.30 petang, dan pengadu serta suspek didapati saling mengenali antara satu sama lain.

“Berdasarka­n keterangan awal suspek, kejadian itu dikatakan berpunca akibat salah faham,” katanya.

Peter berkata suspek mendakwa pernah menghantar enjin kepada mangsa untuk dibaiki, namun mangsa dikatakan menjual beberapa perkakas enjin milik suspek.

“Suspek yang dikatakan marah dengan perkara itu kemudianny­a menetak anak pengadu semasa mangsa berada di hadapan kedai di Kg Bangau-Bangau.

“Hasil pemeriksaa­n doktor mendapati mangsa mengalami luka di bahagian kepala sebelah kiri dan leher sebelah kanan,” katanya.

Utusan Borneo difahamkan, mangsa sudah dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut dan masih mengalami pendarahan namun sedarkan diri dan boleh bercakap.

Berikutan itu, polis menahan reman suspek selama tujuh hari dan siasatan dibuka mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia