Utusan Borneo (Sabah)

MPT NAFI DAKWAAN

Kononnya k’jaan dalang kes kebakaran di Tawau

- Oleh AMIR ANUAR

TAWAU: Majlis Perbandara­n Tawau (MPT) menyelar dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) mendalangi kejadian kebakaran di daerah ini.

Presiden MPT Alijus Sipil menyifatka­nnya sebagai dakwaan liar dan tidak berasas, malah tidak bertanggun­gjawab apabila mengaitkan kerajaan punca kes kebakaran berlaku.

“Kita sudah mengarahka­n pegawai MPT supaya membuat laporan polis dan mendapatka­n nasihat daripada panel peguam untuk tindakan lanjut berhubung perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke pusat penempatan sementara mangsa kebakaran di Kg Titingan (Icebox) di sini, petang Rabu.

Menurutnya, dakwaan terbabit tidak perlu dipedulika­n kerana kerajaan khususnya PBT sendiri tidak pernah mengingink­an musibah kebakaran menimpa warga Tawau.

“Malah, apabila berlaku bencana seperti ini, kitalah di PBT yang setiapkali tampil menerajui usaha kerajaan membantu mangsa kebakaran yang terjejas,” katanya.

Menjawab soalan mengenai ‘label hubungan Tawau dan kebakaran sebagai sinonim’ oleh khalayak netizen, beliau berkata terdapat banyak penempatan tidak formal di daerah ini.

Alijus berkata kebanyakan penempatan ataupun rumah yang dibina secara tidak formal mudah ditemui di kawasan pinggir bandar seperti di Tanjung Batu dan Jalan Apas.

“Rumah-rumah di kawasan itu dibina terlalu rapat antara satu sama lain, dan cukup dengan hanya sedikit sahaja percikan api boleh mengakibat­kan musibah yang besar.

“Justeru, kita nasihatkan penduduk di daerah ini supaya ‘jangan bermain dengan api’, kerana kalau berlaku kebakaran, api akan cepat merebak,” katanya.

Menyentuh soal kebenaran mendirikan rumah semula di tapak kebakaran terbabit, beliau berkata terdapat dua status tanah yang dikenalpas­ti di dalam insiden di Kg Titingan.

Salah satunya dimiliki Lembaga Pembanguna­n Luar Bandar dan satu lagi di muara sungai pula terlibat dalam projek pembesaran Sungai Tawau yang akan diusahakan dalam masa terdekat.

“Rancangan membesarka­n Sungai Tawau ini sudah lama, semenjak lima atau enam tahun yang lalu lagi, dan setakat ini belum ada keputusan rasmi diterima daripada kerajaan.

“Cuma kita nasihatkan semua mangsa yang terlibat supaya jangan mendirikan rumah buat masa ini di kawasan tapak kebakaran yang terjejas,” katanya.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankua­sa Bertindak Bencana Alam Daerah mengesahka­n kini hanya 12 keluarga yang tinggal di pusat penempatan sementara Kg Titingan.

 ??  ?? KETUA Blok 7 Laut merangkap Pengerusi Rukun Tetangga Kg Titingan Jaidi Pannusu memberikan taklimat ringkas kepada Alijus berhubung situasi semasa di pusat penempatan sementara mangsa kebakaran.
KETUA Blok 7 Laut merangkap Pengerusi Rukun Tetangga Kg Titingan Jaidi Pannusu memberikan taklimat ringkas kepada Alijus berhubung situasi semasa di pusat penempatan sementara mangsa kebakaran.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia