Utusan Borneo (Sabah)

Guru agama tinggal keselesaan hidup untuk sertai Felda

-

JELEBU: Bergelar guru agama dengan gaji kira-kira RM300 sebulan pada tahun-tahun 70-an boleh boleh dianggap berstatus tinggi dalam masyarakat, namun Hussin Jalani, 72, yakin kedudukan sosioekono­minya itu boleh ditambah baik sekiranya menyertai tanah rancangan Felda.

Nekad meninggalk­an keselesaan hidup yang dinikmati, Hussin membawa isteri, Normah Abu Bakar, 62 dan dua anak mereka pada masa itu menyertai Felda Lui Timur di sini pada 1979, setahun selepas Felda itu dibuka.

Nyata keputusan Hussin yang lebih dikenali sebagai Ustaz Hussin adalah keputusan tepat kerana kini beliau meraih pendapatan purata sekitar RM4,000 sebulan menerusi ladang kelapa sawit seluas empat hektar yang diberikan oleh Felda.

“Kalau kita kembali kepada keadaan mula-mula masuk ke tanah rancangan dahulu, setiap mereka yang masuk ke tanah rancangan sudahpun membuat satu pengorbana­n iaitu meninggalk­an kampung halaman dan orang-orang yang dikasihi dengan matlamat untuk mengubah taraf hidup.

“Memang pada peringkat awal kami masuk suasananya agak daif dengan kami diberi sebuah rumah satu bilik tidur dan satu ruang dapur manakala bilik air di luar rumah hanya berpagarka­n kepingan zink,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya semasa beliau menyertai Felda Lui Timur, terdapat 601 peserta pada masa itu.

“Saya sudah 38 tahun menyertai Felda dan sememangny­a setiap benda yang baru bermula akan menghadapi kepayahan tetapi secara perlahan-lahan keadaan bertambah baik hasil kerjasama Felda mengolah untuk membangunk­an masyarakat dan ekonomi.

“Ini termasukla­h keperluan asas seperti sekolah, tadika, masjid dan sebagainya yang dibangunka­n secara beransur-ansur dalam tempoh itu hingga ke tahap yang ada sekarang,” kata bapa kepada tiga anak ini.

Hussin yang juga berperanan sebagai penceramah motivasi, berkata dengan hasil titik peluhnya di Felda, beliau dapat melancong ke 28 buah negara selain memiliki tanah tapak rumah dan ladang.

“Kalaulah saya masih guru agama dulu, paling tinggi pun saya bersara jadi guru besar dan sekarang saya duduk di sini, saya dah ada harta, geran tanah pun dah ambil tahun 2006 kerana sudah mendapat hak milik,” katanya.

Hussin yang juga Tokoh Maal Hijrah Negeri Sembilan 2011, berkata beliau kini menikmati kehidupan yang selesa dan tidak gusar dengan masa depan generasi pewaris Felda kerana asas kehidupan telahpun dibina dengan baik oleh generasi pertama.

“Yang nak mengubah nasib kita ini adalah kita, bukan orang lain. Contohnya di sini kita mendapat bantuan hari raya dan bonus tahunan dan bermacam-macam lagi… apa lagi yang kita nak? Dulu di seluruh Felda Lui Timur ini cuma ada tujuh, lapan buah kereta sahaja, motosikal pun dalam 20 buah dan kebanyakan penduduk guna basikal tua.

“Sekarang, setiap rumah ada empat atau lima buah kenderaan dan ada yang saya lihat 12 kereta di rumah seorang peneroka. Saya sendiri ada tiga kereta… apa yang dibuat kerajaan tidak silap, yang silap itu kita,” katanya.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia