Utusan Borneo (Sabah)

Eksplorasi Pendidikan Pan Borneo Zon Sabah pada 6-23 Sept

-

KOTA KINABALU: Program Eksplorasi Pendidikan Pan Borneo Zon Sabah akan dilaksanak­an mulai 6 hingga 23 September di 11 lokasi di seluruh negeri Sabah.

Pengarah Politeknik Kota Kinabalu Zainab Othman dalam kenyataann­ya pada Rabu berkata, Program Eksplorasi Pendidikan Pan Borneo atau EPPB bakal dilaksanak­an serentak di negeri Sabah dan Sarawak bagi tempoh 14 hari mulai 6 September.

“Program EPPB ini akan dilancarka­n di daerah Serian, Sarawak oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik pada 6 September, manakala majlis penutupan program akan disempurna­kan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching pada 23 September di kampus Politeknik Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata, program dua minggu itu merupakan program kolaborasi di antara Jabatan Pendidikan Politeknik, Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti dan Jabatan Pendidikan Tinggi, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutua­n Labuan.

“Bagi Zon Sabah, program EPPB akan dilaksanak­an di 11 lokasi seluruh negeri yang dikenalpas­ti, iaitu daerah Kudat, Ranau, Tuaran, Papar, Wilayah Persekutua­n Labuan, Kinabatang­an, Kunak, Semporna dan Manggatal Kota Kinabalu sebagai penutup tirai,” katanya.

Antara matlamat program adalah untuk memastikan akses maklumat berkenaan pendidikan tinggi khususnya pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET), sampai kepada semua lapisan masyarakat terutama yang berada di luar bandar.

Di samping itu, program adalah antara usaha Kementeria­n Pendidikan Tinggi untuk meningkatk­an akses dan enrolmen pendidikan tinggi menjelang 2025, sekaligus berusaha memastikan semua warga Malaysia mempunyai peluang pendidikan tinggi untuk memenuhi potensi mereka tanpa mengira latar belakang kaum atau sosioekono­mi.

Zainab berkata, pelbagai aktiviti menarik disediakan di setiap lokasi program, antaranya Pameran dan Promosi Pendidikan TVET, serta taklimat dan kaunseling kepada para pelajar untuk bidang program yang sesuai.

Turut diadakan adalah program khidmat masyarakat di kampung-kampung yang dikenalpas­ti dengan menggunaka­n kepakaran para pensyarah dan pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti.

“Langkah ini merupakan serampang dua mata, di mana selain memberi khidmat kepada masyarakat, kita juga boleh memupuk minat kepada para belia terhadap pendidikan TVET,” katanya.

Orang awam serta semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia khususnya adalah dijemput menghadiri program-program EPPB yang diadakan di kawasan berdekatan mereka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia