Pusat Dagangan Linyi diharap mewujudkan peluang pekerjaan
KUCHING: Kewujudan Pusat Dagangan Antarabangsa China-Malaysia di Sejingkat diharap dapat memenuhi jangkaan dan visi kerajaan negeri khasnya dalam mewujudkan peluang pekerjaan ke arah ekonomi digital di Sarawak.
Pusat Dagangan Antarabangsa berkenaan adalah usaha syarikat swasta tempatan iaitu Jung Kuo Sdn Bhd yang menjalin kerjasama dengan Linyi, China melalui Pusat Dagangan Linyi.
Pusat dagangan berkenaan mempunyai 500 unit rumah kedai untuk industri dan komersial sementara pusat konvensyennya pula mampu memuatkan 400 meja serta menampung 4,000 orang.
Pengarah Jung Kuo Sdn Bhd Tay Chiew Hua berkata, pusat dagangan itu menjadi pusat sehenti terbesar dibina di Borneo.
“Matlamat kami adalah untuk menjadikannya asas bagi pengeluar dari China dan pemain industri kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam mendapatkan manfaat bagi ‘One Belt, One Road’ iaitu pelan strategik China di Sarawak.
“Tiga objektif utama penubuhan adalah menjadi zon bagi produk dari China dan negara Asean lain iaitu produk seperti bahan pembinaan, pengubahsuaian dan peralatan lain dan ia menjadi oulet kilang yang mempamerkan sampel dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memoradum Persefahaman (MoU) antara Jung Kuo Sdn Bhd dan Pusat Dagangan Linyi, China yang disaksikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di pejabatnya di Wisma Sumber Alam di sini, pada Selasa.
MoU berkenaan diadakan sempena lawatan delegasi dari bandar Linyi, China bersama Awang Tengah yang diketuai Pengarah Jawatankuasa Pentadbiran Biro Pembangunan Dagangan dan Ekonomi Bandar Linyi Zhuang Weiguo.
Tambah Tay, pusat dagangan itu juga menjadi hab kepada pengusaha IKS tempatan untuk mempamerkan produk mereka dan secara tidak langsung akan mempromosikan hasil mereka kepada pihak luar.