SAGROTEK, TKPM pemangkin lebih banyak kawasan pertanian
KUCHING: Pusat Latihan Pertanian Agroteknologi Saberkas (SAGROTEK) dan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) akan dijadikan sebagai pemangkin untuk membangunkan lebih banyak lagi kawasan pertanian di negeri ini pada masa akan datang.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (Saberkas) Dr Abdul Rahman Junaidi berkata kedua-dua projek yang diusahakan Saberkas itu sangat penting untuk membantu membangunkan belia khususnya dalam bidang pertanian.
Menurut beliau, TKPM yang dijalankan bersama Jabatan Pertanian di tapak seluas kira-kira 219 hektar tanah di Kebuloh, Miri kini sudah beroperasi dan telah melahirkan usahawan-usahawan pertanian yang berjaya.
“Setakat ini, seramai 45 peserta SABERKAS telah meraih pendapatan yang tinggi hasil daripada pertanian sayur-sayuran dan buah-buahan yang dijalankan di TKPM,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Saberkas Sarawak Ke-50 yang dipengerusikan oleh Presiden SABERKAS Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Selasa.
Manakala bagi SAGROTEK, beliau berkata projek yang terletak di tapak pertanian Paya Paloh, Kota Samarahan itu masih belum beroperasi.
Katanya, projek yang menelan kos lebih sejuta ringgit itu adalah untuk melatih belia Saberkas menggunakan teknologi baharu dalam bidang pertanian.
Namun demikian, beliau berkata sejak dimulakan tiga tahun lepas, ia kini baharu sahaja siap dibina infrastruktur asas iaitu pejabat dan bangunan untuk latihan.
“Pada masa ini, kita ada 12 ekar tanah untuk memulakan aktiviti pertanian berteknologi tinggi,” katanya.
Dr Abdul Rahman menambah, Abang Johari turut memberi perhatian serius terhadap projek itu.
Justeru, katanya Saberkas akan melantik seorang pengurus dan menubuhkan jawatankuasa khas negeri untuk mengendalikan SAGROTEK.
“Apabila SAGROTEK sudah beroperasi nanti, kami merancang membuka kawasan seluas 48 ekar di Paya Palohuntukmemulakan pertanian berteknologi tinggi dan moden,” katanya.
Turut hadir Timbalan Presiden Saberkas Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Naib Presiden Saberkas Datuk Lee Kim Shin.