Julian Tan tidak akan pertahan kerusi Parlimen Stampin
KUCHING: Julian Tan Kok Ping tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Stampin pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen pada sidang media di ibu pejabat parti di sini, pada Selasa.
“Julian tidak akan bertanding mempertahankan Stampin pada PRU14 nanti yang dimenanginya pada PRU lalu. Saya rasa ia bukan rahsia lagi.
“Beliau (Julian) menyatakan hasratnya itu kepada parti kerana mahu meneruskan kerjayanya sebelum ini dalam bidang sains dan teknologi,” ujarnya.
Pada PRU13 Julian menang dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti undi 18,670 menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Yong Khoon Seng (22,993 undi) dan Lina Soo daripada Parti Reformasi Negeri (STAR) Sarawak (239 undi).
Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Sentosa berkata DAP telah mengenal pasti calon berpotensi untuk mempertahankan kerusi itu pada PRU14 kelak.
Beliau menambah, calon berpotensi yang dimaksudkannya itu merupakan salah seorang daripada pembantu khasnya.
Ketika ini beliau mempunyai tiga pembantu khas iaitu Mordi Bimol, Kelvin Yii dan Abdul Aziz Isa.
Dalam perkembangan berkaitan Chong memberitahu, pemilihan calon DAP yang akan bertanding pada PRU akan datang hampir selesai.
“Calon untuk PRU Ke-14 bagi DAP Sarawak bukan lagi isu. Begitu juga dengan pembahagian kerusi, tiada pertindihan kerusi antara parti PH (Pakatan Harapan).
“Perkara ini dibincangkan sejak tahun lalu dalam kalangan PH dan dalam konteks Sarawak rundingan melibatkan DAP, PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan Amanah (Parti Amanah Negara),” katanya.
Tambahnya, di Sarawak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bukan sebahagian PH yang diketuai beliau.
“Terpulang kepada PAS bertanding di mana-mana kerusi (Parlimen) yang mereka suka, dalam pertandingan tiga penjuru dan sebagainya.
“Ini kerana kerusi diperuntukkan kepada PAS sebelum ini secara automatik menjadi milik Amanah,” tegasnya.
Mengenai jumlah kerusi yang akan dipertandingkan pada PRU14 nanti, Chong berkata DAP kekal seperti semasa PRU13 iaitu 11.