Utusan Borneo (Sabah)

Suspek langgar suami isteri hingga maut di Batu Pahat serah diri

-

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang dipercayai pengedar dan penagih dadah yang terlibat dalam kes langgar lari sehingga menyebabka­n kematian dua warga emas, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, Selasa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata suspek berusia 29 tahun ditahan semasa hadir menyerah diri ke IPD kirakira 1 tengah hari.

Katanya, suspek kemudian diminta untuk menunjukka­n kad pengenalan diri oleh anggota polis sebelum pemeriksaa­n dilakukan.

“Pemeriksaa­n yang dilakukan terhadap suspek dan beg pinggang yang dipakainya telah menemui satu paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki syabu seberat 0.20 gram dan kad pengenalan­nya,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.

Beliau berkata suspek kemudianny­a dibawa ke pejabat narkotik IPD Batu Pahat untuk menjalani ujian saringan air kencing dan suspek didapati positif dadah jenis methamphet­amine.

Selain itu, pemeriksaa­n lanjut turut mendapati suspek masih dikehendak­i mengikut Seksyen 477 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Suspek ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Sebelum ini, suspek diburu kerana melarikan diri dari hospital selepas kereta dipandunya merempuh motosikal sepasang suami isteri sehingga maut di KM 5, Jalan Bukit Pasir, Batu Pahat, Isnin lepas.

Dalam kejadian pukul 7.15 pagi, Wahadi Jamos, 62, dan isterinya Rokiah Jangi, 65, dari Parit Lapis Bangas, Seri Medan, Batu Pahat dilaporkan meninggal di tempat kejadian. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia