Utusan Borneo (Sabah)

Enam peladang ditembak mati dalam perbalahan tanah: Polis

-

LIMA: Enam peladang ditembak mati di Amazon Peru oleh sekumpulan lelaki bertopeng dalam pergaduhan mengenai hak tanah, menurut seorang polis dan seorang ketua puak kelmarin.

Lima mayat, dengan tangan dan kaki diikat, dihumban ke dalam sungai dan mangsa keenam ditemui di tepi jalan tidak berturap di wilayah hutan Ucayali, menurut pegawai polis Raul Huari.

Kesemua mangsa adalah sebahagian daripada komuniti peladang yang enggan meninggalk­an tanah yang mereka usahakan ketika didesak oleh penanam kelapa sawit, menurut Robert Guimaraes, ketua pertubuhan penduduk asli di Ucayali.

Beberapa saksi memberi keterangan bahawa sekumpulan di antara 30 dan 40 lelaki yang membawa senapang patah cuba membunuh kirakira 20 peladang semuanya, menurut Huari.

“Mereka berkata kumpulan tersebut muncul, mengepung mereka dan kemudian terus melepaskan tembakan. Beberapa orang bernasib baik kerana berjaya melarikan diri,” katanya. “Sepanjang tempoh 24 tahun saya bekerja saya tidak pernah melihat sesuatu seperti ini.”

Huari berkata pembunuhan kelihatan berkaitan dengan perebutan tanah, dan satu unit khas polis dan pendakwa raya melakukan siasatan.

Pembunuhan berlaku pada 1 September, menandakan ulang tahun ke-3 pembunuhan empat aktivis penduduk asli yang berdepan ancaman dari pembalak di bahagian berlainan di Ucayali.

Selepas pembunuhan pada 2014, yang berlaku ketika Peru menjadi tuan rumah bagi persidanga­n alam sekitar global, kerajaan berjanji akan melakukan lebih banyak lagi untuk melindungi perkampung­an Amazon terpencil yang se-ring kekurangan surat geran tanah akibat pertempura­n kejam dengan penduduk setinggan.

Guimaraes berkata beberapa komuniti asli terus berdepan dengan ancaman di Ucayali dan tiada sesiapa disabitkan bagi pembunuhan pada 2014.

Komuniti asli Shipibo di Santa Clara de Uchunya, yang tinggal dekat di mana peladang tersebut dibunuh, cuba menghalau penanam kelapa sawit dari tanah mereka selama beberapa tahun, kata Guimaraes. — Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia