Kelab KPLB hulur sumbangan mangsa kebakaran
MATUNGGONG: Kelab Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menyampaikan sumbangan kepada seorang kakitangannya yang ditimpa musibah bencana kebakaran rumah di Kampung Tuid Matunggong pada 6 September lalu.
Sumbangan berupa bantuan kewangan disampaikan oleh lapan orang ahli rombongan diketuai wakil Setiausaha Kelab KPLB, Ag Usli Haji Salleh kepada Linda Mogesal yang bertugas di Pusat Kemahiran Masyarakat (PKM) Pinawantai Matunggong.
Majlis penyerahan sumbangan itu diadakan di bangunan PKM Pinawantai, baru-baru ini.
Ag Usli berkata, Linda Mogesal merupakan seorang kakitangan KPLB sejak 1996 dan kini yang bertugas sebagai Pembantu Pegawai Latihan di Pusat Kemahiran Masyarakat Pinawantai, dalam Daerah Kecil Matunggong.
Katanya, bagi pihak Kelab KPLB berharap dengan bantuan kewangan yang tidak seberapa itu semoga dapat meringankan sedikit beban keluarga mangsa bencana kebakaran tersebut.
Ketika ditemui pada majlis itu, Linda berkata pada 6 September lalu, beliau balik dari tempat kerja (pejabat PKM Pinawantai) kira-kira jam 4.45 petang.
Setibanya di rumah, beliau terus mengambil anak lelakinya yang berumur 29 tahun dan mereka terus ke kebun untuk menyiram bunga dan mengangkat getah kentalan yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah mereka.
“Tidak lama selepas itu, kami dimaklumkan oleh abang sulung yang datang ke kebun mengatakan yang rumah kami telah terbakar”, katanya yang masih bersedih dengan tragedi itu namun tetap pasrah dengan ketentuanNya.
Menurutnya, kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira jam 5.15 petang itu bukan sahaja memusnahkan keseluruhan rumahnya tetapi turut terbakar ialah rumah mendiang ibunya yang terletak bersebelahan pada jarak kira-kira satu meter.
“Keseluruhan dua rumah kayu itu telah musnah terbakar dan semua harta benda lain gagal diselamatkan”, katanya sambil menjelaskan pihak bomba dari Balai Bomba Kudat mengambil masa yang lama untuk tiba kerana jarak ke Kampung Tuid Matunggong dari Pekan Kudat ialah 42 kilometer.
Menurut Linda yang juga seorang ibu tunggal dan mempunyai tiga orang anak, jumlah kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan lebih RM200,000.
Justeru, Ag Usli menyeru kepada sesiapa yang ingin menyumbangkan seikhlas hati, bolehlah menghubungi Linda melalui telefon 011-1540 6410 atau datang ke Pusat Kemahiran Masyarakat (KPLB) Pinawantai Matunggong.