Pentingkan penjagaan kesihatan
Kesihatan wanita pengaruhi kesihatan seluruh keluarga
“Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa) sentiasa mengambil langkah dan inisiatif untuk mencari pendekatan terbaik dalam usaha membantu wanita-wanita di negeri Sabah. ” DATUK JAINAB AHMAD AYID Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna
KOTA KINABALU: Tahap kesihatan golongan wanita boleh mempengaruhi kesihatan seluruh keluarga dan masyarakat.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, sebagai ibu, penjaga dan tonggak sesebuah rumahtangga, sangat penting bagi wanita mendapat kualiti penjagaan kesihatan yang baik.
Katanya, aspek kesihatan berkenaan termasuklah penjagaan yang sempurna membabitkan aspek jasmani, mental dan emosi.
“Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa) sentiasa mengambil langkah dan inisiatif untuk mencari pendekatan terbaik dalam usaha membantu wanitawanita di negeri Sabah.
“Ia termasuklah pelaksanaan bermacam-macam program seperti kursus, seminar, dan bengkel,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Minda Sihat, Jiwa Sihat, Jom Sihat di Sekolah Kebangsaan (SK) Lapasan Telipok dekat sini pada Jumaat.
Program berkenaan dianjurkan sempena Sambutan Hari Wanita Peringkat Sabah 2017 oleh Jhewa Sabah dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWKP) Parlimen Sepanggar.
Jainab berkata, Program Minda Sihat, Jiwa Sihat, Jom Sihat bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada peserta-peserta tentang gaya hidup sihat.
Pada masa sama katanya, ia mampu menyedarkan peserta tentang kesihatan yang ditentukan berdasarkan gaya hidup seharian mereka.
“Setiap wanita harus mengetahui cara untuk mengawal corak pemakanan yang diambil setiap hari.
“Ini kerana setiap makanan mempunyai kesan yang tersendiri terhadap tubuh badan, sama ada lambat atau cepat bahkan pada masa akan datang.
“Pemakanan yang seimbang dan teratur sangat penting bagi seorang wanita untuk mengekalkan kesihatan yang maksimum seterusnya memudahkan aktiviti harian sebagai isteri, ibu, dan ahli masyarakat yang sihat,” jelasnya.
Beliau berharap program itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap peserta.
Selain itu Jainab juga mahu masyarakat mengambil peluang untuk menghadiri apa juga kursus atau program yang dapat membantu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri.