Utusan Borneo (Sabah)

Cik Tom janda Ai Rong

-

BAU najis dan hancing kencing menguasai seluruh ruang hingga memualkan. Pemandanga­n laman dan lanskap indah amat tidak secocok dengan bau yang teramat busuk. Keindahan laman rumah teres dua tingkat itu tidak memberi apa-apa makna kerana telah dicemari bau najis dan kencing kucing yang amat dahsyat.

Isteri tuan rumah sudah sebal. Kesabarann­ya hilang disebabkan bau yang teramat busuk itu. Pagi-pagi lagi dia sudah mencuci laman. Di tengahari dia mencuci lagi. Sebelah petang dia terpaksa mencuci lagi. Dia tidak tahan lagi dengan perangai Cik Tom anakberana­k.

“Dasar tidak mengenang budi, sudah diberi makan dan tempat tinggal. Lama-lama dia buat perangai,” rungut isteri tuan rumah.

“Tak boleh dibiarkan begini, nanti habis rumah kita berbau najis dan hancing,” balas tuan rumah.

“Mula-mula dulu, dia bawa anak-anaknya kencing berak jauh dari rumah. Sekarang ni dah buat perangai tak senonoh, kecing berak di laman,” tambah si isteri.

“Kita buang saja jauh-jauh. Biar dia anak beranak tak boleh balik ke sini lagi,” tegas si suami.

Mendengar kata-kata tuan rumah suami isteri, Cik Tom termenung sambil memerhatik­an dua ekor anaknya sedang bergomol dan galak menggigit tengkuk masingmasi­ng. Mereka tidak mengerti apa-apa, hanya seronok bermain sahaja. Tong sampah dan batu-batu lanskap di laman habis berselerak. Abu dan Udoh adalah dua beradik yang rapat. Mereka anak kembar 5 yang masih hidup sampai sekarang. 3 ekor anak jantannya telah mati dibaham oleh bapa mereka, bekas laki Cik Tom. Dia berusaha sedaya upaya untuk menjauhkan anakanakny­a daripada jantan gila itu. Apakan daya Cik Tom hanya mampu menggonggo­ng anaknya seekor demi seekor dalam satu masa. Bila dia kembali anakanakny­a sudah tiada. Berhari-hari Cik Tom menangis siang dan malam meratapi kematian anak-anaknya yang belum sempat diberikan nama.

Jantan gila itu dari spesis Siamese Cat yang tidak berhati perut dan penakut. Ya, jantan gila itu takut untuk bersaing dengan anak-anak sendiri di masa hadapan. Itulah sebabnya dia sanggup membunuh darah daging sendiri. Cik Tom sungguh tidak menyangka bekas lakinya yang kacak dan baik itu boleh bertukar menjadi jembalang yang ganas dalam sekelip mata. Jantan itu ditinggalk­an setelah dia membenamka­n kuku runcing ke muka kucing Siam durjana itu. Benarlah kata ibunya dahulu, jantan yang baik jangan disangka tidak membaham anaknya. Namun semuanya sudah terlambat. Cik Tom terpaksa menelan kedukaan. Dia menyesal berlakikan jantan yang malas dan tidak bertanggun­gjawab tetapi hendak berbini banyak. Sudahlah hidup bertuhanka­n nafsu, diselubung­i pula inferiorit­y complex.

Cik Tom bersyukur kerana hidup mereka anak-beranak yang bergelenda­ngan sudah terbela. Kini dia tidak perlu lagi berkelahi dengan kucing lorong liar berebut makanan di tong sampah restoran. Di satu hari, tidak lama dahulu Cik Tom menumpang teduh di halaman rumah ini. Tuan rumah memberi makanan jenama Blackwood kepada Cik Tom. Bau dan kerangupan­nya melekat dalam ingatan Cik Tom. Sudah terlalu lama dia tidak makan makanan berkhasiat semenjak Cik Tom tersesat dari rumah tuannya dahulu. Dia sukakan makanan itu. Ia rangup dan sedap. Semenjak hari itu Cik Tom anak-beranak tidak perlu lagi menyelongk­ar sisa makanan dalam tong sampah besar di belakang restoran.

Cik Tom cantik dan elegan. Bulunya gebu berwarna kelabu cerah dengan tompokan kelabu gelap. Gayanya berjalan persis model profesiona­l dengan susuk tubuh panjang dan berangka agak besar. Dia bukan kucing tempatan. Cik Tom dari spesis The Maine Coon yang berbulu panjang dan bermata menawan. Mungkin sebab itulah tuan rumah ini memberi makan dan membiarkan dia tinggal di halaman rumah mereka. Anakanak tuan rumah juga suka akan anak-anak Cik Tom yang comel dan galak menikus. Cik Tom lega kerana dapat menumpang teduh di halaman rumah yang luas dan selesa. Abu dan Udoh juga dapat bermain-main dengan selesa di celah pokok-pokok yang menghiasi lanskap halaman rumah. Namun sayang, disangkaka­n panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari. Masalah besar tidak terduga datang bertandang dalam hidup mereka anak beranak.Tuan rumah ingin membuang mereka jauh-jauh!

Cik Tom buntu memikirkan siapakah yang punya angkara, kencing berak merata-rata bagaikan binatang liar. Binatang tidak tahu adab menumpang duduk dengan manusia. Kucing dari hulu caruk mana datangnya dia pun tidak tahu. Setahu dia, Abu dan Udoh kencing berak jauh nun di padang permainan sana. Dia mendisipli­nkan mereka agar tidak berak di tempat mereka makan. Cik Tom tahu bau najis dan hancing kucing teramatlah kuat dan hidung manusia tidak boleh toleransi akan kehebatan bau tersebut. Kata orang ‘daulat’ kucing terlalu tinggi – entah apa maksudnya dia kurang mengerti. Mungkinkah kucing asalnya raja segala binatang? Mungkinkah bau najis dan hancing kencingnya adalah ‘raja’ segala busuk. Itu Cik Tom kurang pasti. Yang pastinya, tuan rumah akan membuang mereka bila-bila masa sahaja disebabkan tidak tahan ‘daulat’ dengan bau bahan buangan mereka.

Malam sudah melangkah kakinya ke dinihari. Suasana laman menjadi gelap gelemat setelah lampu dipadamkan tuan rumah. Lolongan anjing tidak pula kedengaran. Mungkin anjinganji­ng tidak bertuan itu telah ditangkap Majlis Perbandara­n dan akhirnya dimatikan kerana dikhuatiri membawa wabak anjing gila. Kenapalah kucing gila tidak dianggap sebagai wabak penyakit. Cik Tom pernah kenal dengan seekor kucing gila. Sampai sekarang dia tidak pernah melupakan kucing gila yang seekor itu - bekas lakinya. Dia berharap sangat agar jantan gila itu ditangkap dan ditamatkan riwayatnya. Hatinya tiba-tiba panas memikirkan tentang si jantan gila itu.

Dinihari itu tidak sedingin yang disangka. Entah angin sudah merajuk; tidak sudi membelai bulu Cik Tom. Kedua-dua anaknya sudah lama tidur pulas kerana keletihan bermain. Di waktu siang bermain berdua dan diwaktu senja hingga malam mereka melayan anak-anak tuan rumah. Panas yang semakin merengsa membuatkan dia tidak dapat tidur. Cik Tom memang tidak tahan cuaca kemarau kerana dahulu dia tinggal di dalam rumah berhawa dingin. Matanya dipejam rapat namun dia tidak dapat tidur juga. Cik Tom risau mengenangk­an nasib mereka anak beranak yang bakal dibuang entah ke mana.

Entah bagaimana Cik Tom akan sampaikan kepada tuan rumah dengan bahasa yang difahami mereka. Semua komunikasi darinya hanya dicerna telinga manusia sebagai mengiau-ngiau. Mereka cepat-cepat membuat kesimpulan bahawa Cik Tom lapar atau dahaga. Manusia sering melihat tanpa memerhati; hearing without listening, seperti kata tuannya yang dahulu. Jika mereka benarbenar memerhati bahasa badan dan mendengari bahasa lisan Cik Tom, tentu mereka tidak terjun ke dalam kesimpulan bahawa semua bunyi yang dikeluarka­n oleh Cik Tom bertujuan hanya meminta makanan atau minuman. Dia buntu tahap akut, bagaimana hendak memberitah­u tuan rumah bahawa mereka tidak bersalah. Ada malaun lain yang bersenang-senang berak dan kencing di laman rumah manakala Cik Tom sekeluarga yang kena getah.

Cik Tom pura-pura tidur. Pasti malam ini kucing durjana itu akan datang membuang sisa kotoran dari perut dan pundi kencingnya ke laman dan pasu bunga rumah ini. Malam ini juga Cik Tom akan sergah dan cakar muka kucing durjana itu. Dia akan buktikan kepada tuan rumah bahawa bukan dia anak-beranak yang membuat onar. Hanya itu caranya Cik Tom anak beranak dapat terus tinggal dengan aman damai di rumah ini. Cik Tom nekad. Apa hendak jadi, jadilah. Kalau kucing itu jantan yang besar, Cik Tom tidak takut berlawan. Cik Tom baka The Maine Coone; kudratnya bagai harimau kumbang.

Cik Tom tersentak. Bunyi makanan kucing dituang ke bekas makanan menggelete­k telinganya. Abu dan Udoh menyerbu ke bekas masing-masing dan makan bagaikan kucing lorong kelaparan. Matahari pagi sudah menyuluh ke muka cantik berbulu lebat itu. Cik Tom menjilat kaki lalu menyapunya­pu ke muka kemudian menjilatji­lat tubuhnya. Cik Tom tidur mati semalaman. Sia-sia sahaja dia menunggu sambil berpura-pura tidur. Sia-sia sahaja dia mengasah kuku seharian untuk mencakar muka kucing yang kencing dan berak di laman. Akhirnya yang ditunggu terlepas. Tentulah simalaun itu berpesta pora... Entah apalah nasib mereka hari ini jika ada lagi najis dan kencing simalaun itu.

Kasihan Cik Tom. Petang itu juga mereka anak beranak dibuang ke Pasar Besar yang penuh sesak dengan kucing yang dibuang orang. Macam-macam rupa kucing dari spesis yang berlainan sedang memerhatik­an Cik Tom dan anak-anak. Beberapa ekor kucing jantan galak terbeliak mata memandang kecantikan Cik Tom. Mereka tercengang dan kehairanan mengapa kucing secantik Cik Tom dibuang tuannya. Ada juga di kalangan kucing jantan yang sedang berkira-kira ingin berbinikan Cik Tom yang jelita itu. Kehadiran Cik Tom ke Pasar Besar telah menjadi buah mulut kucing-kucing betina dan menularkan angau kepada kucing-kucing jantan.

Berita kehadiran Cik Tom telah tersebar ke seluruh pelosok pasar. Kucing-kucing tua, muda hingga ke anak-anak sibuk bergossip akan hal Cik Tom. Kucing jantan galak tersengih-sengih sementara kucing betina menarik muka dan misai hingga menjadi senget. Mereka merasa tergugat dan risau akan dirampas laki kerana khabar angin tentang Cik Tom menderu deras ke telinga capang mereka. Antara isi cerita khabar angin tersebut, Cik Tom memakai ilmu pengasih dan sebarang jantan terkena renungan mata Cik Tom akan terus jatuh cinta kepadanya. Dahsyat sekali ilmu pengasih Cik Tom. Entahentah susuk tulang ikan duyung dipakainya!

Berita tentang Cik Tom sampai ke telinga Ai Rong, kucing siam bekas laki Cik Tom yang kebetulan merempat di pasar yang sama. Ai Rong bertekad mahu menyelesai­kan apa yang masih tertangguh antara mereka. Bukan hal anak-anak, bukan juga hal harta sepencaria­n. Ini hal yang teramat penting bagi Ai Rong untuk menebus malu dan maruahnya yang dicakar oleh kuku tajam dari jari Cik Tom yang cantik. Dia merabaraba parut bekas cakaran Cik Tom di mukanya yang meninggalk­an kecacatan kekal. Wajahnya yang tampan dahulu telah berubah menjadi hodoh dan cacat akibat dicakar Cik Tom.

“Syukur kepada Tuhan, akhirnya aku berjumpa lagi dengan jandaku,” kata Ai Rong, sambil menjilat-jilat badan sendiri.

“Apa yang kau nak buat pada jandamu Ai Rong, nak rujuk semulakah?” Tanya Akok, kucing tua berekor bengkok sambil mengasah kuku di perdu pokok.

“Ah, tak mungkinlah. Betina sejahat itu nak dibuat bini,” jawab Ai Rong kasar.

“Yang dulu tu, apa cerita, bukankah dulu dia binimu?” Akok bertanya lagi.

“Dulu aku menilainya hanya dari kecantikan fizikal. Sekali pandang terus jatuh cinta. Manakan tidak, di kawasan itu hanya dia seekor baka kucing mata biru. Bukan aku seekor, malah semua jantan tergilagil­akannya...” Ai Rong larut dalam ceritanya sendiri.

Baru seminggu mengenali Cik Tom, Ai Rong terus melamarnya. Nasihat kucing-kucing tua tidak diendahkan­nya dek kerana mabuk kasmaran. Ibu dan bapa Ai Rong juga menasihati­nya agar berkawan lebih lama sebelum berkahwin. Biarlah kenal hati budi dengan jelas, baharulah berkahwin. Keputusan penting dalam hidup tidak boleh diputuskan terburubur­u; tidak boleh ambil mudah. Kata orang bijak pandai, kalau lama-lama berkawan baharulah watak sebenar dapat dikesan. Mana mungkin seekor binatang mampu sembunyika­n keburukan dalam tempoh yang lama. Ai Rong bantah. Lepas seminggu kenal dia terus berkahwin dengan Cik Tom. Ai Rong cuba menjadi seperti kata orang putih, “hopeless romantic” tetapi sebenarnya dia mencari penyakit kerana menjadi “hopeless stupid.”

Sungguh dahsyat cerita Ai Rong tentang jandanya. Akok yang sudah lama hidup, belum pernah mendengar cerita sebegini dahsyat. Beberapa kali Akok mengesat air liur ke bulu kakinya akibat ternganga dengan begitu lama. Sungguh di luar jangkaan apa yang sanggup dilakukan oleh kucing betina itu untuk mencapai hajatnya. Cik Tom amalkan sihir awet muda dengan memakan anaknya sendiri. Sudahlah berbuat jenayah dan kanibal, dituduhnya pula Ai Rong membunuh anakanak sendiri. Sudah lama Akok mengenali Ai Rong, jangankan membunuh anak kucing, anak ikan pun tidak sanggup dibunuhnya. Ai Rong sakit batu karang akibat memakan makanan murah yang diletakkan orang di pasar. Makanan itu ada banyak kandungan garam tetap dimakannya juga kerana tidak sanggup memakan ikan segar. Mana mungkin Ai Rong membunuh anak-anaknya. Mustahil!

Kata orang putih, “curiosity kills the cat” tetapi Akok tidak peduli. Dia tetap inginkan kepastian. Versi cerita manakah yang hendak dipercayai­nya? Cerita Cik Tom Janda memang lebih logik dan elemen feminisnya ternyata berjaya meraih simpati. Lagipun sudah menjadi tabiat semulajadi kucing jantan membaham anak jantan dan menyimpan si betina. Cerita Ai Rong pula ada elemen absurd dan tahyul. Tidak mungkin kucing betina baka luar negara mengamalka­n ilmu sihir tempatan. Tidak mungkin si jelita dan baik hati seperti Cik Tom sanggup memakan darah daging sendiri. Kedua-dua cerita pula tidak disahihkan oleh 4 saksi. Tiada pula bukti dari rakaman kamera litar tertutup. Akok bingung!

 ??  ?? Sekadar gambar hiasan
Sekadar gambar hiasan
 ??  ?? Karya IBNU DIN ASSINGKIRI
Karya IBNU DIN ASSINGKIRI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia