M’sia terbuka terima perjanjian perdagangan dua hala dengan AS berbanding pelbagai hala: PM
KUALA LUMPUR: Malaysia terbuka menerima perjanjian perdagangan dua hala dengan Amerika Syarikat (AS) sekiranya pentadbiran negara itu mahukannya berbanding perdagangan pelbagai hala, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Justeru, katanya, Malaysia akan memulakan perbincangan awal berhubung perkara itu dengan AS dan tempoh masa yang diperlukan.
Najib yang akan melawat Amerika Syarikat bermula 12 Sept ini juga dijangka mengumumkan inisiatif berkaitan dengan perkongsian saling memberi manfaat antara kedua-dua negara semasa pertemuan beliau dengan Presiden AS Donald Trump.
“Akan ada pertemuan empat mata terlebih dahulu dan mesyuarat dua hala rasmi dan hari berikutnya saya akan bertemu dengan Presiden Trump.
“Saya akan keluarkan pandangan saya tapi saya berharap AS akan anggap Malaysia sebagai rakan kongsi yang boleh diharapkan dalam soal perdagangan, pelaburan, perkongsian keselamatan dan dalam soal memerangi keganasan,” katanya kepada pemberita semasa ditanya mengenai butiran terperinci lawatan beliau ke Washington DC selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato’ Onn, di sini, pada Jumaat.
Najib berharap syarikat AS akan melihat Malaysia sebagai satu daripada destinasi terbaik untuk melabur dan ia akan mendapat akses kepada teknologi tinggi AS bagi menggerakkan rantaian nilai negara dan meningkatkan pembangunan ekonomi domestik.
Ini akan membawa kepada lebih banyak penyertaan pelaburan dan pindahan teknologi daripada syarikat AS.
“Amerika Syarikat merupakan pelabur kedua terbesar dalam asas terkumpul dan mereka adalah pemain utama dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Sebagai sebuah negara, kita juga menjadi pengeksport modal, jadi kita juga boleh memainkan peranan kita merebut apa juga peluang yang terdapat di sana di AS,” katanya.
Mengulas mengenai Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), beliau berkata 11 negara lain, selain AS, akan bertemu di Danang, Vietnam dan terdapat kemungkinan negara-negara anggota itu mungkin bersetuju dengan perjanjian pelbagai hala dalam kumpulan tersebut.
“Tetapi kelemahannya adalah, saiz pasaran 11 ekonomi hanya 25 peratus daripada saiz pasaran asal TPP kerana AS menyumbang 75 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar negara-negara TPP. — Bernama