Utusan Borneo (Sabah)

Asean perlu libatkan golongan belia: Munir

-

Majlis Penasihat Perniagaan Asean (Asean-Bac) Malaysia menggesa Asean untuk turut melibatkan golongan belia dalam membentuk masa depan dan hala tuju rantau ini.

Pengerusi, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid berkata, pembabitan belia Asean yang menyeluruh diperlukan, terutama apabila melibatkan masa depan, ciriciri dan dasar pertubuhan serantau berkenaan.

“Asean perlu melibatkan mereka untuk mengenal pasti apa yang mereka mahu daripada pertubuhan tersebut pada masa depan,” katanya semasa sesi soal jawab di Persidanga­n Perniagaan Selangor-Asean 2017, di sini pada Isnin.

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohd Munir sebelum itu membentang­kan satu kertas bertajuk “Penilaian Sektor Swasta Terhadap AEC dan Apa Lagi Yang Boleh Dilakukan Untuk Menjadikan Asean Benar-Benar Rantau Ekonomi Bersepadu”.

Menurutnya, 60 peratus penduduk di rantau ini berusia di bawah 35 tahun dan beliau menekankan mengenai kepentinga­n menubuhkan Majlis Belia Asean, di samping perlunya menggubal dokumen dasar sosial dan pendidikan Asean sempena ulang tahun ke-50 pertubuhan tersebut tahun ini.

Selain itu, katanya, Malaysia tidak perlu mengelak daripada menerima pelaburan dari China atau negara lain.

“Pelaburan atau projek yang dibiayai pihak luar di Malaysia perlu mampu menjana aliran tunai yang cukup untuk menjelaska­n pinjaman,” tambahnya.

Sementara itu, mengenai harapannya untuk Bajet 2018 tidak lama lagi, beliau berkata, lebih banyak perlu dilakukan untuk mendidik golongan belia mengenai keperluan dan cabaran ekonomi digital.

Persidanga­n Perniagaan Selangor-Asean selama dua hari yang berakhir esok akan menyaksika­n 23 penceramah tempatan dan antarabang­sa daripada sektor awam dan swasta berkongsi pandangan mengenai peluang pelaburan dan perniagaan di Asean. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia