Utusan Borneo (Sabah)

Kesedaran, pencegahan dipergiat biarpun salah guna dadah pelajar terkawal

-

KUCHING: Langkah pencegahan dan pembantera­san akan terus diambil walaupun penyalahgu­naan dadah dalam kalangan pelajar di negeri ini masih terkawal dan tidak seburuk seperti yang didakwa segelintir pihak.

Menteri Pelanconga­n, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sebanyak 247 kes penyalahgu­naan dadah dikesan membabitka­n pelajar sekolah di Sarawak sejak tahun lalu.

Menurutnya, pelajar berkenaan dikesan positif dadah menerusi ujian air kencing dilakukan di beberapa sekolah di seluruh negeri yang dipilih secara rawak.

“Hasil ujian air kencing yang dilakukan di sekolah dipilih secara rawak sejak tahun lepas, kita mendapati 247 pelajar positif dadah dan daripada jumlah itu, Kuching mencatatka­n jumlah tertinggi iaitu 32 kes.

“Kita boleh mengatakan jumlah itu sangat kecil, bagaimanap­un pada masa sama tetap amat bimbang dan perlu mengambil langkah pencegahan serta pembantera­san kerana tidak mahu jumlah ini meningkat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengeru­sikan Mesyuarat Jawatankua­sa Penyelaras Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Cawangan Sarawak di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Biro Wanita Pemadam Sarawak yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutua­n dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak Wan Madihi Wan Salleh, Pengarah Pendidikan Sarawak Rakayah Madon dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak DSP Sekam Anoi.

Abdul Karim yang juga Pengerusi Pemadam Sarawak berkata, sehubungan itu ujian air kencing di sekolah di seluruh negeri akan diteruskan dan pemilihan sekolah dilakukan secara rambang.

Beliau turut menegaskan ujian air kencing juga akan dilakukan ke atas guru berikutan berlakunya kes penyalahgu­naan dadah melibatkan guru di negeri ini.

“Apabila kita menangani masalah penyalahgu­naan dadah dalam kalangan pelajar, kita tidak mahu terlalu terbuka kerana ia melibatkan belia atau pelajar masih bawah umur dan pada masa sama, perlu menjaga nama baik sekolah.

“Oleh sebab itulah, nama sekolah ujian air kencing dilakukan tidak diumumkan, begitu juga nama institusi pengajian tinggi, cuma yang berlaku baru-baru ini di luar kawalan kita kerana ia berlaku di Semenanjun­g Malaysia,” ujarnya.

Mengenai cara pengedaran dadah di sekolah, Abdul Karim berkata hasil kajian mendapati pengedar dadah yang aktif di luar akan memilih ‘tali barut’ dalam kalangan pelajar untuk mengedar dadah kepada pelajar lain.

Menurutnya lagi, ‘tali barut’ itu akan menjadi ketua pengedar dadah di sekolahsek­olah dan dalam kalangan pelajar.

Oleh itu, katanya, menjadi tanggungja­wab semua pihak untuk mengenal pasti ‘pihak yang menjadi penghubung’ antara pengedar dan pelajar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia