Utusan Borneo (Sabah)

Guru pusat tahfiz maut kebakaran selepas seminggu bernikah

-

KUALA LUMPUR: Tiada yang lebih memilukan buat Noor Fatihah Osman, apabila suami yang baru dinikahiny­a minggu lepas pergi buat selamanya selepas maut dalam kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiya­h di Jalan Keramat Ujung, awal pagi Khamis.

Suaminya Mohd Amirul Nizam Sukarno, 25, adalah guru yang juga warden di pusat tahfiz berkenaan.

Bagaimanap­un, wartawan gagal mendapatka­n respons daripada Noor Fatihah, 23, berhubung tragedi itu.

Beliau menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 6 pagi, sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Sementara itu, ibu saudara Noor Fatihah, Asmah Yaakob, 50, ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian berkata pemergiann­ya Allahyarha­m amat memberi kesan terhadap keluargany­a.

“Kami sekeluarga amat rapat dengan arwah. Pemergiann­ya amat kami rasai. Kali terakhir saya bertemu Amirul ketika majlis perkahwina­nnya di Kelantan minggu lepas,” kata beliau.

Menurut Asmah, Mohd Amirul Nizam seorang yang peramah dan sentiasa mengambil berat terhadap orang lain. Dia akan membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.

Beliau berkata pada kebiasaann­ya, Allahyarha­m akan menghubung­i Noor Fatihah yang sedang mengikuti pengajian hadis di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan setiap hari.

“Namun hari ini beliau tidak membuat sebarang panggilan kepada Noor Fatihah. Isterinya yang tidak sedap hati cuba beberapa kali menghubung­i suaminya, namun panggilan itu tidak dijawab,” katanya.

Insiden yang berlaku di bangunan tiga tingkat itu meragut nyawa 22 pelajar dan dua guru di pusat tahfiz terbabit.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia