Utusan Borneo (Sabah)

Piala Asia: Harimau Malaya akan jejak kaki di bumi Korea Utara

-

SHAH ALAM: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akur dengan keputusan Konfederas­i Bola Sepak Asia (AFC) untuk meneruskan aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara di Pyongyang, 5 Okt ini.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihak AFC memutuskan tiada ancaman keselamata­n selepas perlawanan antara Korea Utara dan Lubnan pada 5 Sept lalu di venue berkenaan, sekali gus selamat untuk aksi Kumpulan B, pusingan kelayakan ketiga itu antara Malaysia dan pasukan tuan rumah.

“Kita akan ke sana ikut arahan AFC. Saya telah berbincang dengan Setiausaha Agung AFC Windsor Paul John dan setakat ini venue itu masih selamat untuk kita.

Kita di FAM pun telah membuat persiapan untuk bermain di sana dan akan terus ke Hong Kong selepas itu. Tunku Presiden (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) pun dah berkenaan dengan keputusan itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman senarai pemain ke Kejohanan Bola Sepak Pantai Antarabang­sa Kedua di Busan, Korea Selatan di sini, kelmarin.

Bagaimanap­un, beliau menegaskan AFC akan terus memantau perkembang­an di negara itu dan sekiranya terdapat faktor-faktor yang membahayak­an keselamata­n, tarikh perlawanan atau venue masih boleh diubah.

Perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan itu yang pada awalnya dijadualka­n pada 28 Mac lepas di Pyongyang ditunda ke 8 Jun selepas ketegangan hubungan diplomatik ekoran pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur 2 pada 13 Feb lalu.

Berikutan ketegangan itu berlanjuta­n, aksi tersebut sekali lagi ditunda ke 5 Okt ini, hanya lima hari sebelum perlawanan menentang Hong Kong pada 10 Okt.

Malaysia yang membuka kempen kelayakan terakhir itu dengan kekalahan 1-2 kepada Lubnan pada 13 Jun di Stadium Larkin sebelum terikat 1-1 menentang Hong Kong pada 5 Sept di Stadium Hang Jebat, kini menduduki tempat terakhir antara empat pasukan di Kumpulan B dengan satu mata.

Lubnan berada di kedudukan teratas dengan tujuh mata, diikuti oleh Korea Utara di tempat kedua menerusi kelebihan jaringan walaupun berkongsi dua mata dengan Hong Kong.

Dengan berbaki empat perlawanan, Malaysia perlu mencapai kedudukan dua teratas untuk layak ke Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang dijadualka­n bermula 5 Jan hingga 1 Feb 2019. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia