Utusan Borneo (Sabah)

Insentif RM130 juta bantu pekebun kecil sawit miliki sijil MSPO

- Oleh FadzilGhaz­ali afadzilg@mpob.gov.my

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menyalurka­n insentif penuh berjumlah RM130 juta kepada semua pekebun kecil sawit untuk membantu mereka mendapatka­n pensijilan Malaysia Sustainabl­e Palm Oil (MSPO) secara percuma, kata Menteri Perusahaaa­n Perladanga­n dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Menjelang pelaksanaa­n mandatori MSPO pada akhir tahun 2019, pemberian insentif berkenaan dapat mengurangk­an bebanan kewangan kepada pekebun kecil bagi menampung yuran pengaudita­n pensijilan tersebut, katanya.

“Kita merancang untuk melaksanak­an audit secara berkelompo­k ke atas hampir 650,000 pekebun kecil melibatkan keluasan hampir 2 juta hektar ladang sawit,” katanya pada sidang media di sini.

Buat masa ini, beliau berkata hanya empat peratus atau kira-kira 244,622 hektar ladang termasuk 7,113 hektar diusahakan pekebun kecil serta 22 kilang yang memiliki secara sukarela sijil MSPO sejak ia mula diperkenal­kan pada Januari 2015.

“Kita tidak mahu kerana pensijilan tersebut membabitka­n kos yang tinggi hanya ladang yang dimiliki syarikat-syarikat mampu untuk memiliki MSPO dan pekebun kecil pastinya merasa terpinggir,” katanya.

Mah berkata pemberian insentif itu akan melibatkan 40 peratus daripada 5.7 juta hektar keseluruha­n penanaman kelapa sawit di Malaysia.

“Dengan pemberian insentif itu juga kementeria­n menyasarka­n menjelang akhir tahun ini, hampir 500,000 hektar ladang sawit akan memiliki pensijilan MSPO dan angka tersebut akan terus meningkat pada tahun hadapan.

“Kementeria­n juga akan membuat ‘roadshow’ bagi memberi penerangan kepada pekebun kecil mengenai kepentinga­n memiliki sijil MSPO terutama untuk memastikan industri sawit tempatan terus mampan pada masa depan,” katanya.

Menerusi pelaksanaa­n skim pensijilan MSPO, beliau berkata produk sawit akan mendapatka­n nilai premium di pasaran antarabang­sa selaras dengan permintaan negara seperti Eropah yang hanya membenarka­n untuk mengimport produk sawit dengan pensijilan yang diiktiraf.

Berbanding proses pensijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), MSPO dilihat lebih sesuai dilaksana di negara ini serta kos pelaksanaa­nnya yang lebih rendah, katanya.

“Walaupun buat masa ini tiada negara yang mengiktira­f sijil MSPO, kita mengharapk­an dengan pelaksanaa­n mandatori menjelang akhir 2019 nanti secara langsung menunjukka­n bahawa MSPO adalah sijil yang dibangunka­n berdasarka­n undang-undang dan peraturan domestik turut memiliki amalan kemampanan terbaik,” katanya.

“Kami yakin MSPO akan diterima baik oleh pemain industri tempatan dan seterusnya pihak kementeria­n akan mempromosi secara giat pensijilan MSPO di luar negara bagi memastikan ianya diiktiraf di pasaran antarabang­sa,” katanya.

Mah berkata maklumat lanjut berkenaan insentif dan langkahlan­gkah permohonan akan dimuat naik di laman sesawang Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam masa terdekat.

 ??  ?? DATUK SERI MAH SIEW KEONG
DATUK SERI MAH SIEW KEONG

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia