Utusan Borneo (Sabah)

Najib bangkit daripada kekecewaan

-

NILAI:Tidak mahu terus dibelenggu kekecewaan selepas kemalangan teruk, atlet berbasikal negara, Mohd Najib Turano mengambil inisiatif sendiri menghubung­i Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menyertai program yang disediakan untuk atlet kelainan upaya.

Mohd Najib, 30, berkata beliau mula menghubung­i MSN pada tahun 2012 untuk menyertai Program Paralimpik Berbasikal.

“Saya bermula dengan kayuhan rekreasi sebelum terlibat kemalangan teruk pada 2007. Saya mengalami kecederaan saraf dan kaki terkehel sehingga menyebabka­n kaki saya tidak dapat diangkat,” katanya kepada pemberita di Velodrom Nasional, pada Ahad.

Beliau yang berasal dari Banting, Selangor berkata selepas kemalangan itu selama dua tahun emosi dan semangat beliau hilang, sebelum beliau bangkit semula untuk menyertai MSN.

Mohd Najib membantu skuad negara dengan menyumbang pingat emas dalam acara trek berbasikal Kilometer (C4) Lelaki pada Ahad.

“Acara pilihan saya 4km tapi jurulatih kata saya boleh lakukan untuk acara ini dan alhamdulil­lah saya berjaya,” katanya yang turut tersenarai di bawah program Podium.

Beliau turut menyasarka­n pingat emas bagi acara 4km Kejar Mengejar Individu (C4) yang berlangsun­g esok.

“Saya turut terlibat dalam acara lebuh raya dan individu ujian masa (C4). Saya harap kejayaan saya hari ini dapat naikkan semangat atlet para yang lain untuk beraksi cemerlang di laman sendiri. Ini juga kali pertama acara berbasikal dipertandi­ngkan dalam temasya Sukan Para ASEAN,” katanya yang akan membuat persediaan untuk Sukan Asia dan Komanwel tahun hadapan.

Skuad trek berbasikal negara hari ini menyapu bersih kesemua tujuh pingat emas yang ditawarkan pada hari pertama APG yang membuka tirainya pada Ahad.

 ??  ?? NAJIB Turano meraikan kejayaan selepas memenangi pingat emas dalam acara Kilometer (C4) lelaki pada Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017 (APG KL2017) di Velodrom Nasional. -Gambar Bernama
NAJIB Turano meraikan kejayaan selepas memenangi pingat emas dalam acara Kilometer (C4) lelaki pada Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017 (APG KL2017) di Velodrom Nasional. -Gambar Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia