Utusan Borneo (Sabah)

Ringgit dijangka terus meningkat minggu ini

-

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka akan terus meningkat dan mencecah nilai saksama dengan berlegar pada paras 4.15 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu ini, kata seorang peniaga.

Ketua Penyelidik­an Inter-Pacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata, unit tempatan itu juga lebih cenderung untuk meneruskan aliran peningkata­n berkenaan.

“Ia akan mengukuh sedikit berbanding paras semasa dan mendapat sokongan daripada faktor asasnya,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baharu berakhir ini, ringgit bergerak dalam lingkungan antara 4.1880 dan 4.2040 berbanding dolar AS berikutan isu geopolitik melibatkan Korea Utara serta kemungkina­n kenaikan kadar faedah oleh negara maju itu menjelang akhir tahun ini yang terus reda.

Kebanyakan mata wang negara sedang pesat membangun di Asia meningkat kelmarin ketika dolar AS susut berbanding kelompok mata wang utama dunia selepas Korea Utara melancarka­n satu lagi peluru berpandu merentasi ruang udara Jepun ke Lautan Pasifik.

Bagi perbanding­an Jumaat ke Jumaat, ringgit diniagakan pada 4.1880/1910 berbanding dolar AS daripada 4.1920/1970, minggu sebelumnya.

Ia tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.1128/1614 daripada 3.1342/1398 pada Jumaat, meningkat berbanding yen kepada 3.7648/7685 daripada 3.8919/8977 dan naik berbanding euro pada 4.9988/9041 daripada 5.0551/5624, Jumaat sebelumnya.

Ia bagaimanap­un susut berbanding pound Britain kepada 5.6873/6926 daripada 5.5129/5203, minggu sebelumnya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia