Utusan Borneo (Sabah)

Sandakan tuan rumah sambutan Maal Hijrah

- Oleh SADDAM EDRIS

KOTA KINABALU: Daerah Sandakan dipilih sebagai tuan rumah sambutan Maal Hijrah peringkat negeri bagi 1439 Hijrah bersamaan 2017 Masihi.

Pengerusi Jawatankua­sa Induk Majlis Perhimpuna­n Sambutan Maal Hijrah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (gambar) berkata, sambutan bertemakan ‘Kesatuan Ummah Kesejahter­aan Negara’ itu diadakan bermula 18 sehingga 22 September ini.

“Beberapa program sudah disusun bagi memeriahka­n sambutan Maal Hijrah tahun ini seperti ziarah kariah yang kita adakan hari ini (Isnin) di kampung terpilih disusuli Seminar Aqidah Ahlis Sunnah Waljammah di Masjid Daerah Sandakan pada Selasa.

“Pada sebelah maghrib pula, kita semarakkan dengan program jelajah di semua masjid daerah Sandakan seterusnya pada jam 8 malam akan diadakan Malam Kasih Junjungan di Dewan Serbaguna Libaran,” katanya pada sidang media sambutan Maal Hijrah peringkat negeri 1439 Hijrah bersamaan 2017 Masihi di sini pada Isnin.

Malam itu juga katanya, akan berlangsun­g bacaan puisi, selawat tazkirah dan persembaha­n keagamaan daripada artis undangan Datuk Ramli Sarip.

Arifin yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, Badan Amal dan Kebajikan Isteri WakilWakil Rakyat Sabah (Bakisa) dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sabah (Jheains) dan Baitulmal Sabah turut mengadakan lawatan ke Hospital Duchess of Kent untuk memberi hadiah kepada anak Hijrah yang lahir pada 1 Muharam.

Katanya, Majlis Doa Kesyukuran Akhir tahun 1438H dan doa awal tahun 1439H akan diadakan pada 21 Sept ini disusuli Tahlil Doa Selamat sempena Sambutan Harijadi Rasmi Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Masjid Daerah Sandakan.

“Seterusnya, hari terakhir sambutan iaitu 22 Sept bersamaan 1 Muharam akan berlangsun­g Majlis Perhimpuna­n Sambutan Maal Hijrah di Dewan Serbaguna Libaran yang akan dihadiri Yang Dipertua Negeri diiringi oleh Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman sebagai tetamu kehormat.

“Pada majlis itu, Tun Juhar akan menyampaik­an beberapa Anugerah Hijrah meliputi Tokoh Maal Hijrah, Saiyidatin­a Khadijah dan anugerah masjid serta surau cemerlang,” katanya.

Beliau mengajak umat Islam khususnya golongan belia untuk hadir menyertai setiap pengisian sepanjang sambutan itu untuk sama-sama melahirkan akidah dan akhlak yang dibajai dengan nilai-nilai murni.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia