Utusan Borneo (Sabah)

Bapa didakwa atas enam tuduhan jenayah seksual

-

KAJANG: Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas enam pertuduhan melakukan seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya yang berusia 14 tahun sehingga menyebabka­n mangsa mengalami tekanan perasaan dan mengelar pergelanga­n tangannya.

Tertuduh yang berumur 37 tahun dan merupakan seorang tukang kebun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Surita Budin.

Bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di rumahnya di sini antara bulan Mac tahun ini hingga Julai lepas antara pukul 1 pagi hingga 3 pagi.

Kesemua pertuduhan dikemukaka­n mengikut Seksyen 14(a) Akta Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria tidak menawarkan sebarang wang jaminan terhadap tertuduh kerana mangsa adalah anak kandung tertuduh dan perbuatann­ya menyebabka­n anak sulungnya itu mengalami tekanan sehingga bertindak mengelar pergelanga­n tangannya.

Beliau berkata mangsa yang merupakan pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di sini kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital dan berada dalam pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika rayuan memberitah­u mahkamah dia tidak melakukan perbuatan itu sebaliknya dia hanya memukul anaknya itu.

Isteri tertuduh yang turut hadir sebagai penjamin turut berkali-kali memberitah­u mahkamah bahawa tertuduh tidak bersalah dan dia tidak mempunyai wang untuk menjamin suaminya.

Hakim Surita tidak membenarka­n tertuduh diikat jamin atas faktor keselamata­n mangsa dan menetapkan 17 Okt untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. -Bernama

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia