Utusan Borneo (Sabah)

Ceroboh pejabat ketua pengarah JPJ, pegawai JPJ didakwa

-

PUTRAJAYA: Seorang pegawai Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ) dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan menceroboh masuk pejabat ketua pengarahny­a di sini, Julai lepas.

Syed Abdul Rahman Perman, 35, yang kini digantung tugas, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ainna Sherina Saipolamin.

Berdasarka­n pertuduhan, bapa dua anak itu didakwa menceroboh masuk pejabat Ketua Pengarahny­a pada masa itu Datuk Seri Nadzri Siron di kawasan Bangunan Kementeria­n Pengangkut­an Jalan, Presint 4, di sini, pada 1 pagi, 13 Julai lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin kerana kes ini melibatkan kepentinga­n awam.

”Tujuan jaminan adalah untuk pastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah. Kes ini melibatkan kepentinga­n awam. Pecah masuk pejabat bosnya sendiri.

“Denda dalam kes ini maksimum RM3,000 jika jaminan rendah dikhuatiri tertuduh akan melarikan diri, pohon jumlah jaminan yang sewajarnya,’ katanya.

Bagaimanap­un, peguam S. Mogan yang mewakili tertuduh, meminta anak guamnya dibenarkan diikat jamin dengan jumlah rendah kerana dia adalah bapa kepada dua anak.

“Tertuduh juga sudah lebih enam bulan tidak mendapat gaji,” katanya.

Ainna Sherina membenarka­n tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Okt untuk sebutan semula kes.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia