Utusan Borneo (Sabah)

Penduduk gesa pihak berwajib perbaiki sistem saliran

-

SUNGAI PETANI: Penduduk di beberapa buah kampung di Kota Kuala Muda dekat sini, menggesa pihak berwajib agar mengambil tindakan segera bagi memperbaik­i sistem perparitan dan saliran untuk mengatasi masalah banjir kilat di situ.

Seorang penduduk dari Kampung Telok Nipah, Md Nazri Yahya, 49, berkata, sudah dua kali banjir kilat melanda rumahnya dalam bulan ini, yang bukan sahaja menyebabka­n kerosakan di rumah penduduk malah turut menjejaska­n aktiviti harian.

“Bulan ini sahaja, rumah saya sudah dua kali dilanda banjir kilat, namun kali ini paling teruk.

“Sebab itu saya berharap agar pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera terutamany­a menaik taraf sistem perparitan di sini, bagi mengatasi masalah banjir kilat khususnya sewaktu air pasang dan hujan lebat yang berterusan,” katanya kepada Bernama di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Kechil, di sini, Jumaat.

Sementara itu, mangsa banjir di Kampung Keda Bukit Tukang Jusoh, Rohana Hashim, 55, berkata hujan lebat yang mula turun pada petang Rabu lepas, berterusan dan menyebabka­n limpahan air mula memasuki rumahnya kira-kira pukul 9 pagi, Khamis.

“Air naik sehingga menghampir­i paras lutut individu dewasa, menyebabka­n peralatan elektrik seperti mesin basuh dan peti sejuk yang pada mulanya hanya dilapik dengan ketulan bata, terpaksa diangkat dan diletakkan di kawasan tinggi di luar rumah.

“Sejak semalam, saya bersama suami dan dua anak tidur di pusat pemindahan banjir untuk sementara waktu dan kami benar-benar berharap agar masalah banjir kilat ini dapat diatasi segera,” katanya. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia